
PETALING JAYA: Dua bekas Ahli Parlimen DAP tidak yakin dengan usaha Steven Sim untuk bertemu perdana menteri bagi mencadangkan perubahan dasar susulan kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya Johor dan Negeri Sembilan.
Kua Kia Soong berkata Sim, yang merupakan pengerusi DAP Pulau Pinang, tidak sepatutnya sekadar bercakap mengenai perubahan dasar tanpa menjelaskan secara terperinci apakah dasar yang mahu diubah.
Beliau berkata antara dasar yang perlu dilaksanakan ialah perkara yang telah dijanjikan seawal manifesto PH pada 2018. Namun, banyak daripadanya, termasuk pengiktirafan UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu) oleh kerajaan Persekutuan, masih belum diselesaikan.
Kua, yang merupakan Ahli Parlimen Petaling Jaya dari 1990 hingga 1995, turut mempersoalkan sama ada Sim mampu menyenaraikan perkara yang tidak disenangi pengundi terhadap PH.
“DAP berkelakuan seperti MCA ketika Barisan Nasional berkuasa dan pengundi sudah muak dengan politik sebegini,” katanya kepada FMT, merujuk kepada kritikan terhadap MCA pada masa lalu kerana didakwa terlalu tunduk kepada kerajaan pimpinan Umno.
“Jangan sekadar bercakap mengenai perubahan dasar sebagai cubaan untuk mengelak daripada menjawab persoalan asas,” katanya lagi.
Kua turut meragui hasil pertemuan yang dirancang Sim dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Jika setiausaha agung DAP sendiri (Loke Siew Fook) tidak dapat mempengaruhi perdana menteri, mengapa Sim akan berbeza?” katanya.
Selepas DAP mengalami kekalahan besar dalam pilihan raya Sabah pada 2025, Loke berkata parti itu akan mengumpulkan maklum balas dan mempercepat agenda reformasi dalam tempoh enam bulan bersama Anwar, yang juga pengerusi PH.
Kua turut mempersoalkan sama ada Sim akan membincangkan reformasi dalaman DAP dalam kongres akan datang, kerana menurutnya kekalahan tersebut ‘bukan semuanya salah kerajaan’.
Antara persoalan yang dibangkitkan Kua ialah sama ada parti itu patut mengamalkan prinsip ‘seorang pemimpin, wakili satu kawasan Parlimen atau DUN’.
“Persoalan lain ialah bagaimana golongan yang kononnya ‘reformis’ hanya menyedari wujudnya masalah selepas mereka tewas dalam pilihan raya. Bukankah perkara ini dibincangkan dalam mesyuarat CEC DAP?”
Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata beliau berasa hairan dengan kenyataan Sim kerana Sim sendiri merupakan anggota Jemaah Menteri dan kini memegang jawatan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
“Mereka bermesyuarat setiap Rabu (mesyuarat Jemaah Menteri). Adakah Sim mengatakan bahawa beliau tidak memperjuangkan dasar-dasar ini sebelum ini?” soalnya.
Beliau berkata kenyataan sedemikian hanya menjadi bahan cemuhan, selain mempersoalkan mengapa hanya mahu menggadakan pertemuan dengan perdana menteri selepas kalah pilihan raya.
“Orang ramai tentunya menyangka bahawa bertemu perdana menteri untuk membincangkan rancangan merupakan sebahagian daripada tanggungjawab anggota jemaah menteri.”
Santiago berkata kerajaan boleh melaksanakan banyak langkah yang mudah dilaksanakan, termasuk gaji minimum untuk pekerja gig dan pelan makanan sekolah kebangsaan.
Menurutnya, pelaksanaan dasar sedemikian juga berpotensi membantu kerajaan meraih sokongan pengundi.
“Ia bukan sesuatu yang terlalu sukar. Kita sudah ada mekanismenya. Persoalannya hanyalah pelaksanaannya.”
