Pengurusan kuil tarik balik rayuan perhidup injunksi terhadap pemilik tanah

Court of Appeal Mahkamah rayuan
Peguam mewakili pengurusan kuil memaklumkan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan bahawa anak guamnya arah penarikan semula permohonan kebenaran merayu.

PUTRAJAYA: Pengurusan Kuil Sri Uchimalai Muniswaran menarik balik permohonannya untuk menghidupkan semula perintah Mahkamah Majistret yang melarang pemilik tanah, Yayasan Kubra, daripada menjalankan kerja perobohan kuil Hindu itu di Rawang.

Peguam Amanda Sonia Mathew, mewakili pengurusan kuil, memberitahu panel tiga hakim Mahkamah Rayuan bahawa beliau telah diarahkan menarik balik permohonan kebenaran merayu tersebut.

Memandangkan kes itu bermula di Mahkamah Majistret, pengurusan kuil perlu memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Rayuan terlebih dahulu, sebelum rayuannya dapat didengar.

Hakim Noorin Badaruddin, yang mempengerusikan panel itu bersama Radzi Abdul Hamid dan Meor Hashimi Abdul Hamid, membatalkan permohonan berkenaan berikutan penarikannya, selain memerintahkan pengurusan kuil membayar kos RM10,000 kepada Yayasan Kubra.

Yayasan Kubra diwakili Ahmad Khalil Rofiee, Hariz Yusoff, Zainal Rijal Abu Bakar, Danial Farhan Zainal Rijal, dan Arham Rahimy.

Pada 31 Mac, Mahkamah Tinggi mengetepikan perintah Mahkamah Majistret Selayang yang mengeluarkan larangan sementara ke atas Yayasan Kubra daripada merobohkan kuil berkenaan.

Injungsi itu diberikan pada 13 Mac selepas Majistret Chai Guan Hock memutuskan Yayasan Kubra tidak boleh menjalankan kerja meroboh kuil kerana wujud pertikaian mengenai tanah.

Chai mengambil maklum kuil itu telah wujud di tapak itu sejak 1995, manakala pemilik tanah semasa memiliki tanah itu, sejak 2021.

Pertikaian itu mendapat perhatian ramai pada 11 Feb, apabila polis menahan empat lelaki yang didakwa cuba merobohkan sebahagian kuil.

Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar, berkata siasatan mendapati lelaki terbabit telah merobohkan sebahagian kuil tanpa terlebih dahulu berbincang dengan pihak pengurusan atau memaklumkan pihak berkuasa tempatan berkaitan. Mereka kemudiannya dibebaskan.

Walaupun pengurusan kuil tidak mempertikaikan Yayasan Kubra merupakan pemilik berdaftar tanah, ia kekal berpendirian tindakan merobohkan sebahagian kuil tidak sah di sisi undang-undang.

Author: admin