NUTP gesa KPM wujud mekanisme bantu guru mangsa buli

Presiden NUTP Aminuddin Awang berkata ramai guru yang dibuli secara tidak langsung. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu Kementerian Pendidikan (KPM) segera mewujudkan mekanisme khusus bagi membantu guru yang menjadi mangsa penindasan atau pembulian di tempat kerja.

Gesaan itu menyusul dakwaan seorang guru di sebuah sekolah di Kepong yang menjadi mangsa layanan tidak adil sehingga menjejaskan peluang kenaikan pangkat.

Aminuddin Awang
Aminuddin Awang.

Presiden NUTP, Aminuddin Awang, berkata mekanisme itu perlu benar-benar berkesan dan bukan sekadar saluran aduan diwujudkan tanpa tindakan susulan.

“Mekanisme khidmat bantu guru yang tertindas perlu diwujudkan secara berimpak oleh KPM, bukan sekadar saluran sekadar ada.

“Memang ramai guru yang dibuli secara tidak langsung sebenarnya. Wujudkan segera mekanisme ini,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, tular di media sosial guru wanita gred DG44 mendakwa menjadi mangsa pembulian dan penindasan oleh guru besar sehingga tercicir daripada kenaikan pangkat ke DG48.

Guru itu mendakwa sudah berkhidmat selama 17 tahun serta tiga kali menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, namun masih gagal memperoleh kenaikan pangkat.

Dia turut mendakwa mengalami kemurungan dan kebimbangan kronik akibat tekanan di tempat kerja, selain aduan dibuat kepada pihak berkaitan tidak diambil tindakan, malah disuruh berpindah sekolah.

Dakwaan itu turut menyebut terdapat lima kes keciciran kenaikan pangkat membabitkan guru di bawah seliaan guru besar sama.

Tular dakwaan seorang guru di sebuah sekolah di Kepong yang menjadi mangsa layanan tidak adil sehingga menjejaskan peluang kenaikan pangkat.

Aminuddin berkata, jika dakwaan itu benar, KPM perlu menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang didapati melakukan pembulian atau menyalahgunakan kuasa.

“Jika aduan ini benar, kami harap tindakan tegas diambil kepada pembuli tersebut. Siasatan menyeluruh perlu dibuat terhadap SOP siasatan yang telah dibuat terhadap aduan aduan guru tersebut.

“Perlu dilihat juga oleh KPM apa langkah penyelesaian yang telah dibuat terhadap guru yang membuat aduan ini,” katanya.

Selain itu, Aminuddin turut menggesa KPM memberi perhatian kepada kebajikan guru yang melalui proses siasatan atau tindakan undang-undang tetapi akhirnya didapati tidak bersalah.

Katanya, guru yang telah melalui proses mahkamah dan dibebaskan, serta guru ditempatkan di pejabat pendidikan daerah (PPD) untuk menjalani program intervensi susulan laporan polis, perlu dibantu untuk dipulihkan reputasi mereka.

Author: admin