
PETALING JAYA: Ismail Sabri Yaakob selamat menjalani prosedur pemasangan perentak jantung (pacemaker) di Institut Jantung Negara (IJN) bagi merawat masalah degupan jantung tidak normal.
IJN memaklumkan, susulan prosedur yang dijalankan petang tadi, bekas perdana menteri itu dinasihatkan supaya berehat dan lawatan hanya dibenarkan bagi ahli keluarga terdekat.
Ismail Sabri, 66, dimasukkan ke IJN semalam selepas mengalami masalah jantung ketika memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan berhubung perbelanjaan dan dana inisiatif Keluarga Malaysia bagi tempoh 2021-2022.
Peguamnya, Amer Hamzah Arshad berkata, Ismail Sabri berasa pening ketika disoal siasat.
Amer Hamzah berkata, anak guamnya dimasukkan ke IJN kira-kira dua minggu lalu akibat terjatuh, susulan insiden di mana jantungnya dilaporkan terhenti selama kira-kira dua saat. Beliau dijadualkan menjalani pemeriksaan susulan pada Isnin depan.
Peguam itu berkata, prosiding mahkamah yang dijadualkan hari ini, membabitkan bacaan pertuduhan dan merekodkan pengakuan Ismail Sabri, telah ditangguhkan ke 27 Ogos selepas Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin membenarkan penangguhan atas faktor kesihatan.
Ismail Sabri sebelum ini menjadi tumpuan siasatan berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram, serta pernah dipanggil oleh SPRM untuk beberapa sesi soal siasat pada tahun lepas.
Siasatan itu membabitkan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dan 16kg jongkong emas bernilai jutaan ringgit, yang dirampas semasa serbuan di kediaman empat lelaki dan tiga premis lain yang dipercayai dijadikan ‘rumah selamat’.
Siasatan berkenaan dilaporkan berkait dengan perbelanjaan dan perolehan dana bagi aktiviti promosi dan publisiti di bawah inisiatif Keluarga Malaysia, ketika Ismail Sabri menjadi perdana menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022.
SPRM telah melengkapkan siasatan berhubung perkara itu pada Jun 2025.
