
PETALING JAYA: Gelombang biru berpotensi menyapu sehingga 122 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia untuk gabungan Barisan Nasional (BN)-Perikatan Nasional (PN) menjelang PRU16.

Bagaimanapun, badan pemikir Ilham Centre yang membuat unjuran itu berkata, ia berdasarkan andaian bahawa corak pengundian yang berlaku di Negeri Sembilan akan berulang di seluruh negara.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar, berkata jika Umno dan PAS — parti Melayu-Islam dalam gabungan masing-masing — berjaya memastikan penyokong terus memberi sokongan kepada calon antara satu sama lain, mereka berpotensi merampas kerusi yang sebelum ini dimenangi tipis oleh Pakatan Harapan (PH).
Beliau mengulas kenyataan Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) Larry Sng awal minggu ini bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mungkin tidak lagi menjadi ‘kingmaker’ dalam politik Malaysia.
Sng berpandangan demikian berdasarkan hakikat bahawa BN dan PN secara bersama memenangi 104 kerusi pada PRU15, hanya lapan kerusi kurang daripada majoriti mudah.
Jika gabungan BN-PN memenangi 122 kerusi seperti yang diunjurkan Hisommudin, ia akan memperoleh 10 kerusi melebihi jumlah minimum 112 kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan Persekutuan.
Hisommudin berkata kepada FMT, perkara itu boleh direalisasikan sekiranya penyokong Umno dan PAS benar-benar menerima calon daripada parti rakan gabungan masing-masing di peringkat akar umbi.
“Ia boleh diterjemahkan kepada kemenangan di banyak kerusi marginal yang sebelum ini dimenangi PH,” katanya.
Daripada keseluruhan 222 kerusi Dewan Rakyat, sebanyak 166 kerusi berada di Semenanjung Malaysia, manakala 31 kerusi di Sarawak dan 25 kerusi di Sabah.
Penguasaan Melayu
Pengundi Melayu membentuk lebih 51% daripada keseluruhan pengundi di 138 kerusi di Semenanjung. Daripada jumlah itu, mereka merangkumi sekurang-kurangnya 65% pengundi di 86 kerusi.
Bagaimanapun, Hisommudin berkata, tidak semua kerusi berkenaan berada di kawasan majoriti Melayu. “Ia termasuk kawasan pilihan raya di bandar dan kawasan di pinggir bandar,” katanya.
Beliau menambah bahawa di kerusi itu, terutama yang menyaksikan sokongan antara PH dan BN atau PN hampir seimbang, ‘keputusan boleh berpihak kepada mana-mana pihak’.
“Ini adalah medan pertempuran sebenar. Kerusi-kerusi inilah yang dijangka menyaksikan tiga gabungan utama — PH, BN dan PN — meletakkan calon. Di sinilah penentuan pihak mana yang akhirnya akan membentuk kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata, persaingan paling sengit dijangka berlaku di kerusi yang mempunyai komposisi pengundi berbilang kaum, yang kebanyakannya terletak di kawasan separa bandar. Ini termasuk kerusi yang mempunyai 50% hingga 70% pengundi Melayu.
“Di sinilah penyokong Melayu BN-PN akan berdepan dengan pengundi bukan Melayu yang masih cenderung menyokong PH,” tambahnya.
Hisommudin berpandangan kemungkinan berlakunya sekali lagi parlimen tergantung adalah lebih rendah sekiranya PRU16 menjadi persaingan dua penjuru antara gabungan BN-PN dan PH, kerana undi tidak akan berpecah sebanyak seperti dalam pertandingan pelbagai penjuru.
Sebanyak 112 kerusi diperlukan untuk memperoleh majoriti mudah di Dewan Rakyat. Menerusi PRU 2022 lalu, tiada satu pun parti atau gabungan memperoleh jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk majoriti mudah, sekali gus menyebabkan Malaysia berdepan situasi parlimen tergantung.
Akhirnya, BN yang memenangi 30 kerusi, GPS dengan 23 kerusi dan GRS dengan tujuh kerusi bersetuju menyertai PH bagi membentuk kerajaan perpaduan, sekali gus membuka laluan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.
Faktor yang perlu dipertimbangkan
Memandangkan masih banyak perkara boleh berlaku antara sekarang hingga PRU16, keputusan pilihan raya masih belum dapat dijangka dengan pasti.
Hisommudin berkata keadaan ekonomi semasa dan kos sara hidup boleh mengubah sentimen pengundi, sama seperti isu perselisihan antara rakan gabungan serta pemilihan calon.

Bagi felo kanan Institut ISEAS-Yusof Ishak, Francis Hutchinson, cabaran terbesar adalah bagaimana BN dan PN membahagikan kerusi di Pahang, Perak dan Selangor antara mereka.
Setakat ini, katanya, kerjasama antara kedua-dua gabungan itu hanya diuji di negeri-negeri yang rundingan lebih mudah dicapai oleh kedua-dua pihak, iaitu Johor dan Negeri Sembilan, di mana PAS kurang kuat.
Bersatu, yang kini berdepan keretakan hubungan dengan PAS, bertanding 17 kerusi di bawah logonya sendiri di Johor dan 24 kerusi di Negeri Sembilan, namun gagal memenangi sebarang kerusi.
Hutchinson berkata BN dan PN dijangka mengintai kerusi majoriti Melayu serta kawasan separa bandar yang sama di Pahang, Perak dan Selangor, dan ‘keadaan itu akan menjadikan rundingan sangat sukar’.
Beliau berkata walaupun pengundi Melayu bandar berkemungkinan menyokong BN-PN, sokongan itu mungkin tidak mencukupi untuk mengubah keputusan di kerusi besar, campuran dan bandar yang menyaksikan peratusan pengundi Melayu lebih kecil.
Di kerusi itu katanya, kadar keluar mengundi, khususnya dalam kalangan pengundi bukan Melayu, akan menjadi faktor penentu.
Hutchinson turut menambah bahawa kerjasama rasmi dengan PN juga boleh menyukarkan parti-parti kecil dalam BN untuk menarik sokongan pengundi bukan Melayu di kawasan campuran.
“Salah satu pengajaran daripada PRN Johor ialah BN, khususnya komponen bukan Umno, masih mempunyai daya saing dari segi pilihan raya. Namun, kelebihan ini boleh terhakis jika BN secara terbuka bekerjasama dengan PN.
“Sudah ada beberapa pihak dalam parti-parti lain komponen BN menyuarakan kebimbangan mengenai implikasi bekerjasama dengan PN,” katanya.
