
PETALING JAYA: Presiden PKR Anwar Ibrahim menerima baik keputusan anak sulungnya, Nurul Izzah, melepaskan jawatan timbalan presiden.
Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH), berkata Nurul Izzah kekal aktif dalam parti walaupun mempunyai rancangan di luar, merujuk keputusannya meneruskan pengajian lanjutan.
“Dia (Izzah) ada program di luar, tak apa kita boleh terima baik.
“Tapi, dia masih aktif dalam parti,” katanya menurut Berita Harian, di Alor Gajah.
Semalam, Nurul Izzah menegaskan akan terus menyokong perjuangan parti di bawah pimpinan Anwar meskipun melepaskan jawatan nombor dua parti berkenaan.
Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap Saifuddin Nasution Ismail selaku pemangku timbalan presiden dan Amirudin Shari sebagai pengarah pilihan raya untuk melaksanakan amanah mereka dengan bijaksana dan tekun.
Nurul Izzah dipilih sebagai timbalan presiden PKR pada Mei tahun lalu, selepas menewaskan penyandangnya, Rafizi Ramli.
Susulan itu, Rafizi keluar parti bersama bekas naib presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad, untuk melancarkan Bersama.
