
PETALING JAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menawarkan wang pendahuluan pinjaman (WPP) berjumlah RM1,500 seorang kepada 40,099 pelajar baharu diploma di universiti awam (UA) dan politeknik bagi kemasukan sesi Jun 2026.
Pengerusi PTPTN, Norliza Abdul Rahim, berkata inisiatif itu melibatkan peruntukan keseluruhan RM60.1 juta bagi membantu pelajar menampung kos persediaan awal kemasukan ke institusi pengajian tinggi.
Katanya, kemudahan itu disediakan bagi meringankan beban kewangan keluarga dan memastikan pelajar dapat memulakan pengajian dalam keadaan lebih bersedia.
“WPP ini diberikan kepada pelajar warganegara Malaysia yang telah memberikan persetujuan menerima WPP semasa membuat permohonan kemasukan institusi pendidikan tinggi awam melalui UPUOnline atau melalui portal kemasukan UA.
“Selain itu, ibu bapa atau penjaga pelajar juga merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta memenuhi kriteria kelayakan yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan.
Sejak diperkenalkan pada 1999 hingga 30 April lalu, seramai 999,838 pelajar menerima manfaat WPP membabitkan peruntukan RM1.48 bilion.
Pelajar yang layak boleh menyemak tawaran WPP menerusi aplikasi myPTPTN dan menunaikannya di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara mulai hari ini.
Mereka perlu membawa surat tawaran WPP dan MyKad semasa urusan penunaian, manakala wakil tidak dibenarkan berbuat demikian.
Tempoh sah laku WPP adalah selama dua bulan bermula 10 Jun hingga 9 Ogos 2026.
Sementara itu, Norliza berkata, pihaknya komited memastikan akses kepada pendidikan tinggi dapat dinikmati semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang sosioekonomi.
“Inisiatif pemberian WPP PTPTN ini adalah untuk membantu menampung sebahagian perbelanjaan bagi persiapan awal pelajar baharu memasuki UA dan Politeknik,” katanya.
Terdahulu, Norliza menyantuni pelajar yang ditawarkan WPP menerusi sesi ziarah ke rumah mereka di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, dengan menyampaikan surat tawaran kepada penerima yang layak.
PTPTN turut mengingatkan pelajar yang ingin memohon pinjaman pendidikan mengemukakan permohonan dalam talian melalui aplikasi myPTPTN mengikut tarikh ditetapkan oleh UA dan politeknik masing-masing.
Pemohon juga perlu mempunyai akaun Simpan SSPN yang boleh dibuka menerusi aplikasi berkenaan.
