JDT cipta rekod dunia menang 109 tanpa kalah, juara Perlawanan Sumbangsih

Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengekalkan penguasaan dalam Liga Malaysia apabila mengutip tiga mata dalam aksi pembuka tirai Liga Malaysia musim 2026-2027, di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) mencipta rekod dunia menang 109 perlawanan liga tanpa kalah secara berturut-turut sejak 2021, susulan menumbangkan Kuching City FC 3-0 pada Perlawanan Sumbangsih, di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Rekod itu mengatasi aksi 108 perlawanan tanpa kalah sebelum ini dipegang kelab Ivory Coast, ASEC Mimosas, dari 1989 hingga 1994.

Kemenangan dalam aksi pembuka tirai Liga Malaysia musim 2026-2027 itu turut menghadiahkan tiga mata buat JDT, sekali gus menyaksikan skuad Harimau Selatan memulakan kempen Liga Super dengan langkah kanan, lapor Bernama.

Marcos Guilherme, Oscar Arribas, dan Shahab Zahedi masing-masing mencatatkan nama sebagai penjaring untuk melengkapkan kemenangan bergaya JDT.

Pada babak awal, JDT tampil lebih garang dengan menguasai rentak permainan serta bertali arus mengasak kubu Kuching City menerusi beberapa sepakan penjuru dan percubaan berbahaya di hadapan gawang.

Bagaimanapun, ketangkasan penjaga gol Kuching City, Muhammad Haziq Nadzli, berjaya menafikan beberapa ancaman daripada skuad tuan rumah.

Tekanan berterusan Harimau Selatan akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-11 apabila Guilherme menyudahkan hantaran Bergson da Silva untuk membuka tirai jaringan dan meletakkan JDT di depan.

Bersambung pada babak kedua, Kuching City yang jarang mencipta gerakan berbahaya cuba bangkit dan hampir menyamakan kedudukan menerusi tandukan penyerangnya Gabriel Nistelrooy, namun percubaannya berjaya ditepis penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi.

JDT kemudian terus menggandakan tekanan dan berjaya menjarakkan kedudukan pada minit ke-55 apabila Arribas meledak menerusi rembatan kencang yang tepat menerjah gawang skuad The Cats, sekali gus gagal diselamatkan Muhammad Haziq.

JDT hampir menambah jaringan pada minit ke-80 menerusi Oscar, namun rembatan pemain berkenaan tersasar sedikit daripada sasaran.

Skuad Harimau Selatan terus menghukum kelekaan Kuching City apabila menambah jaringan ketiga pada minit ke-86 menerusi Shahab Zahedi yang menyudahkan bola muntah selepas Haziq gagal menangkap kemas percubaan sebelumnya.

Kedudukan 3-0 kekal sehingga wisel penamat di hadapan 32,372 penyokong yang hadir.

Author: admin