
PETALING JAYA: Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sungai Besar mengaku salah menyeleweng diesel subsidi untuk nelayan dengan Mahkamah Sesyen Kuala Selangor mengenakan hukuman denda RM320,000.
Perkara itu diputuskan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza semalam, kata Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari.
Katanya, hakim dalam keputusannya mendapati PNK itu membenarkan pihak ketiga tidak dilesenkan iaitu sebuah syarikat untuk menguruskan operasi penjualan bahan api terbabit.
“Tindakan membenarkan pihak ketiga tidak dilesenkan mengurus dan menjalankan aktiviti penjualan diesel secara borong tersebut adalah bercanggah dengan syarat kelayakan lesen runcit barang kawalan berjadual, yang menetapkan bahawa bekalan diesel berkenaan hendaklah dijual secara terus kepada bot-bot nelayan tempatan yang berdaftar,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, kes pertama dikesan pada 5 Mac 2024, manakala kedua pada 30 Julai 2024 di premis yang terletak di lokasi berbeza sekitar Sungai Besar dan Sekinchan.
“Bagi kes pertama, PNKSB mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan utama, masing-masing membabitkan kesalahan berurusan dengan barang kawalan iaitu diesel secara borong tanpa lesen yang sah di bawah Peraturan 3(1) serta gagal mematuhi syarat lesen runcit ditetapkan di bawah Peraturan 13(2), Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974.
“Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM80,000 bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan denda bagi kedua-duanya RM160,000,” katanya.
Hanif berkata, bagi kes kedua, PNK tersebut juga mengaku bersalah dan disabitkan atas satu pertuduhan mengikut Peraturan 3(1), Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974, kerana menjalankan aktiviti penjualan diesel secara borong tanpa lesen sah.
Katanya, susulan itu mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM160,000.
