
TAWAU: Seramai 4,750 pendatang asing pelbagai warganegara dihantar pulang ke negara asal tahun ini, menurut imigresen Sabah.
Warganegara Filipina mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 3,008 orang, diikuti Indonesia (1,478), Pakistan (118), China (109), Vietnam (18) manakala pelbagai warganegara lain sebanyak 19.
“Jumlah itu juga merangkumi pelaksanaan program pemindahan terbaharu membabitkan 144 warganegara Indonesia (hari ini) menerusi laluan itu menggunakan feri komersial,” menurut kenyataan.
Menurut imigresen Sabah, semua warga Indonesia berusia tiga hingga 68 tahun itu terdiri daripada 107 lelaki, 26 wanita, empat kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan, dengan golongan kanak-kanak diiringi ibu bapa atau pengiring masing-masing.
Semua dari Depot Imigresen Kota Kinabalu, Depot Imigresen Papar dan Depot Imigresen Sandakan itu dipindahkan selepas selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang serta memiliki Surat Perjalanan Laksana Pasport (SPLP) yang sah.
“Imigresen menyeru semua pihak agar lebih peka terhadap persekitaran dalam komuniti, tidak bersekongkol melindungi atau menggajikan pendatang tanpa izin serta segera melaporkan kegiatan berkaitan pendatang tanpa izin kepada saluran rasmi,” katanya.
