Kerajaan tingkat saringan bersasar bagasi, ujian dadah kru

akps klia
Pihak berkuasa akan meningkatkan saringan bersasar terhadap penerbangan, penumpang, kru dan bagasi dikenal pasti berisiko tinggi. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pihak berkuasa akan meningkatkan saringan bersasar terhadap penerbangan, penumpang, kru dan bagasi berisiko tinggi sambil memperkukuh ujian dadah ke atas kru penerbangan sebagai sebahagian langkah keselamatan lebih ketat di semua pintu masuk antarabangsa, termasuk KLIA.

Kementerian Dalam Negeri dan Pengangkutan dalam kenyataan bersama berkata, ini antara 17 syor penambahbaikan bagi memperkukuh kawalan keselamatan, termasuk enam langkah segera yang diluluskan Jemaah Menteri semalam.

Langkah itu menyusul beberapa kes rakyat Malaysia ditahan di luar negara atas dakwaan menyeludup dadah, termasuk seorang juruterbang Malaysian Airlines diberkas di Jakarta, Indonesia, akhir bulan lalu.

Dua kementerian itu berkata, enam langkah segera itu termasuk memperkukuh prosedur e-Vetting serta kawalan akses terhadap kru penerbangan, kakitangan syarikat penerbangan, petugas operasi dan pengendalian darat, pekerja pengendali lapangan terbang, vendor, kontraktor serta individu lain yang memerlukan akses ke kawasan keselamatan terhad.

Ia turut termasuk pemeriksaan pra-pengambilan lebih ketat, saringan dadah berkala dan rawak terhadap juruterbang, kru kabin serta kakitangan berkaitan.

Menurutnya, kehadiran anggota polis di lokasi strategik akan ditingkatkan sebagai langkah pencegahan, disokong anggota Pasukan Gerakan Am tambahan bagi setiap syif di Terminal 1 dan 2 KLIA.

Katanya, maklumat keselamatan dan risikan akan dikongsi melalui National Immigration Command Centre, manakala jawatankuasa teknikal daripada dua kementerian itu akan memantau pelaksanaan langkah berkenaan.

“Fasa jangka sederhana akan memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi, aset dan sumber manusia, manakala fasa jangka panjang melibatkan transformasi sistem, perkongsian maklumat dan tadbir urus.”

Author: admin