
KUALA LUMPUR: Seorang pemandu Jabatan Imigresen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap lima pertuduhan membabitkan nahas lori ‘Black Maria’ di Jalan Sultan Ismail di sini yang mengorbankan seorang bapa dan dua anak perempuannya.
Tertuduh, Akbar Zainol, 43, didakwa memandu trak Imigresen secara melulu sehingga menyebabkan kematian Shaik Firdaus Shaik Yahya, 52; Siti Norshazlin Shaik Firdaus, 24; dan Siti Darwisyah Shaik Firdaus, 12.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Sultan Ismail kira-kira jam 1 pagi, 19 Ogos lalu.
Ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan, yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda antara RM20,000 dan RM50,000 jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan keempat, Akbar didakwa memandu secara cuai dan tidak bertimbang rasa sehingga menyebabkan kecederaan terhadap Nor Hayati Rozali, 54.
Pertuduhan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu memperuntukkan denda antara RM5,000 dan RM10,000 serta hukuman penjara sehingga 12 bulan jika sabit kesalahan.
Pemandu itu turut didakwa mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan kerana melanggar lampu isyarat merah. Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda antara RM300 hingga RM2,000.
BERITA LANJUT MENYUSUL
