
PETALING JAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini menafikan dakwaan tular yang mengaitkan kehadiran ramai warga asing di kaunter JPN dengan permohonan MyKad.
JPN berkata tidak semua individu yang berada di kaunter jabatan itu datang untuk memohon atau mendapatkan MyKad, sebaliknya ia turut menyediakan pelbagai urusan pendaftaran dan dokumentasi untuk warga asing.
Menurutnya, ini termasuk pendaftaran kelahiran anak yang perlu dilakukan dengan JPN tanpa mengira kewarganegaraan ibu bapa. JPN turut menjelaskan bahawa pendaftaran kelahiran bayi tidak secara automatik memberikan kewarganegaraan Malaysia.
“Sijil kelahiran berwarna merah jambu merupakan bukti bahawa kelahiran telah didaftarkan di Malaysia, tetapi ia tidak bermaksud kanak-kanak tersebut adalah warganegara Malaysia. Sijil ini turut dikeluarkan kepada bukan warganegara.
“Terdapat urusan lain di JPN yang melibatkan warga asing, termasuk perkahwinan sivil antara pasangan warga asing.
“Justeru, jangan membuat kesimpulan hanya berdasarkan kehadiran seseorang di JPN atau berdasarkan sekeping gambar tanpa mengetahui urusan sebenar yang sedang dijalankan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Video yang tular semalam didakwa menunjukkan beberapa pelarian Rohingya berada di sebuah pejabat JPN, dengan seorang pengguna X mendakwa mereka berada di situ untuk mendapatkan MyKad.
