Rakyat Malaysia yang koma di Istanbul meninggal dunia

R Rajiv Chin Yein Meng
Adun Bukit Gasing, R Rajiv dan abang Chin Yun Hin, Yein Meng, ketika membuat rayuan meminta sumbangan untuk membawa lelaki itu pulang ke Malaysia.

PETALING JAYA: Seorang rakyat Malaysia berusia 52 tahun yang keluarganya sedang berusaha menggumpulkan dana untuk membawanya pulang dari Turki selepas dia koma di Istanbul telah meninggal dunia.

Dalam satu hantaran di Facebook, Adun Bukit Gasing daripada DAP, R Rajiv, berkata Chin Yun Hin meninggal dunia pada 5.30 petang tadi.

“Kami dengan tulus ikhlas berterima kasih kepada semua yang memberikan respons dengan begitu pantas, menyumbang, berkongsi rayuan ini dan menawarkan bantuan,” katanya.

Beliau berkata, tiada lagi keperluan untuk mengumpul dana.

Chin dilaporkan mengalami demam ketika transit di Istanbul, dalam perjalanan pulang dari England awal bulan ini.

Doktor di Turki pada mulanya mengesyaki Yun Hin mengalami pendarahan otak, namun pemeriksaan lanjut mendapati beliau mempunyai masalah pada paru-paru. Chin kemudian tidak dibenarkan meneruskan penerbangan kerana demamnya berterusan.

Abangnya, Yein Meng, berkata keluarga itu memerlukan antara RM500,000 hingga RM700,000 untuk membawanya pulang menggunakan ambulans udara.

Beliau juga memerlukan kos tambahan susulan rawatan di hospital dan ubat-ubatan yang diterimanya di Turki.

Author: admin