Pengarah syarikat direman kes tuntutan palsu RM100,000 babit bekas pemimpin Melaka

handcuff
Lelaki berusia 60-an itu direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengemukakan tuntutan palsu pembayaran buku ‘coffee table’ bernilai kira-kira RM100,000 membabitkan bekas pemimpin tertinggi Melaka. (Gambar Rawpixel)

MELAKA: Seorang pengarah syarikat percetakan direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengemukakan dokumen mengandungi butiran matan palsu tuntutan pembayaran buku “coffee table” bernilai kira-kira RM100,000 membabitkan bekas pemimpin tertinggi negeri itu.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 60-an itu yang bermula hari ini dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman, selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini.

Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira 8 malam semalam ketika memberikan keterangan di pejabat SPRM Melaka.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut yang membabitkan bekas pemimpin tertinggi negeri itu pada 2021.

“Suspek dipercayai bukan sahaja mengemukakan dokumen tuntutan pembayaran buku ‘coffee table’ yang mengandungi butir matan palsu berkaitan perkhidmatan mereka bentuk dan mencetak buku ‘coffee table’ tersebut, tetapi pembekalan yang dilakukan juga tidak sempurna.”

Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Author: admin