
HANG TUAH JAYA: PKR mengambil serius teguran dan pandangan akar umbi pada Kongres Nasional parti, termasuk mengenai keperluan memperkukuh strategi komunikasi dan penerangan kepada rakyat.
Ketua Penerangannya Fahmi Fadzil berkata maklum balas itu penting untuk memantapkan gerak kerja jentera serta menilai semula pendekatan parti dalam menyampaikan maklumat.
“Banyak teguran dan perkara yang perlu dimuhasabah, yan perlu difikirkan bagi memantapkan gerak kerja jentera.
“Termasuk mengubah suai strategi untuk komunikasi dan penerangan,” katanya selepas meninjau bilik media sempena Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
Fahmi berkata kepimpinan parti mengambil pendekatan merendah diri dengan mendengar pandangan akar umbi dan bersedia melakukan perubahan, termasuk bermula daripada diri sendiri.
Menurutnya, antara mesej utama yang perlu diberi perhatian ialah jurang antara pencapaian kerajaan pada peringkat makroekonomi dengan apa yang dirasai rakyat dalam kehidupan seharian.
“Ramai mengatakan banyak usaha dan pencapaian kerajaan, perkara yang bersifat makroekonomi, mungkin belum dapat diterjemahkan dan dinikmati di peringkat ekonomi rumah tangga,” katanya.
Menteri komunikasi itu berkata beberapa perubahan bagi menambah baik penyampaian maklumat sedang dirancang dan akan diperincikan dalam sesi penggulungan kongres esok.
Fahmi yang juga pengarah komunikasi Pakatan Harapan (PH) menjelaskan usaha itu termasuk mewujudkan mekanisme untuk mengenal pasti isu yang paling dirasai rakyat sebelum disalurkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut.
