
PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim berharap tiket Madani serendah RM200 dapat membuka peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia merasai sendiri pengalaman menyaksikan perlumbaan Formula 1 (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Beliau berkata, inisiatif khas untuk pemegang MyKad itu diumumkan selepas kerajaan mencapai persetujuan bersama pihak penganjur dari Bahrain.
“Moga inisiatif ini membuka peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk merasai sendiri pengalaman Formula 1 secara langsung di Sepang,” katanya di Facebook.
Tambahnya, butiran lanjut mengenai mekanisme pembelian serta penjualan tiket berkenaan akan diumumkan oleh pihak pengurusan SIC dalam masa terdekat.
Anwar yang juga menteri kewangan pada 27 Julai lalu, dilaporkan berkata kerajaan mempertimbangkan untuk memperkenalkan harga tiket lebih mampu milik susulan menerima maklum balas orang ramai yang menganggap harga tiket perlumbaan bertaraf antarabangsa itu agak tinggi.
Grand Prix F1 Gulf Air Bahrain akan diadakan di Sepang dari 2 hingga 4 Okt selepas ketegangan di Asia Barat memaksa ia dipindahkan dari Bahrain.
Malaysia sebelum ini menjadi tuan rumah F1 di Litar Antarabangsa Sepang dari 1999 hingga 2017 sebelum ia digugurkan daripada kalendar perlumbaan.
