Akta baharu ganti Auku sudah dalam perancangan KPT, kata Zambry

pelajar universiti
Kerangka perundangan baharu bagi menggantikan Auku antaranya akan terus perkukuh kebebasan akademik serta suara mahasiswa. (Gambar fail)

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sudah merancang sebuah akta baharu yang lebih komprehensif bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), kata Menterinya Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata usaha memperbaharui kerangka perundangan pendidikan tinggi itu telah digariskan dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang dilancarkan pada Januari lalu, menerusi agenda Akta Satu Pendidikan Tinggi.

Menurut Zambry, Auku bukan sekadar undang-undang berkaitan hal ehwal atau kebebasan mahasiswa, tetapi merupakan akta induk yang menjadi asas kepada penubuhan, pentadbiran dan tadbir urus universiti serta kolej universiti.

“Oleh itu, pemansuhannya perlu disusuli dengan suatu kerangka perundangan baharu yang lebih menyeluruh, progresif dan sesuai dengan keperluan pendidikan tinggi masa kini serta masa hadapan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memansuhkan Auku ketika menyampaikan ucapan dasar presiden pada Kongres Nasional Keadilan 2026.

Zambry berkata proses menggubal kerangka baharu itu akan dilaksanakan secara inklusif dengan mengambil kira pandangan kepimpinan universiti, ahli akademik, institusi pendidikan tinggi awam dan swasta, pemain industri, politeknik dan kolej komuniti serta penyedia TVET.

Pakar perundangan, mahasiswa dan pihak berkepentingan lain juga akan dilibatkan dalam proses berkenaan.

“Matlamat kerajaan bukan sekadar memansuhkan Auku, tetapi membina kerangka perundangan yang dapat memperkukuh autonomi institusi, kebebasan akademik dan suara mahasiswa.

“Tanpa mengabaikan tadbir urus serta akauntabiliti institusi pendidikan tinggi.

Author: admin