Pemansuhan Auku ‘hadiah’ buat perjuangan mahasiswa, kata Adam Adli

Adam Adli kenang perjuangan mahasiswa yang memperjuangkan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku).

PETALING JAYA: Pengarah Komunikasi PKR Adam Adli menyifatkan keputusan kerajaan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku) sebagai ‘hadiah’ kepada perjuangan mahasiswa sejak sekian lama.

Adam, yang juga timbalan menteri pendidikan tinggi, berkata pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu menjadi tanda besar terhadap komitmen kerajaan kepada agenda reformasi.

“Saya tanggapi pengumuman PM berkait pemansuhan Auku sebagai satu tanda besar terhadap komitmen terhadap reformasi.

“Pada saat ini, saya tidak fikir siapa yang menang atau siapa yang mendapat kredit,” katanya dalam kenyataan.

Bekas aktivis mahasiswa itu sebaliknya mengenang mereka yang pernah bersama-sama memperjuangkan perubahan, termasuk golongan yang berdepan tekanan dan tindakan kerana bersuara.

“Saya cuma terkenang wajah-wajah yang pernah berdiri bersama. Mereka yang pernah takut, tetapi tetap datang. Mereka yang pernah dihukum, tetapi tetap bersuara.

“Ini hadiah buat perjuangan anak mahasiswa sepanjang zaman. Terima kasih Perdana Menteri,” katanya.

Terdahulu, Anwar mengumumkan kerajaan akan memansuhkan AUKU ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional PKR 2026.

Anwar berkata walaupun beberapa pindaan dilakukan terhadap akta itu, masih ada mahasiswa tidak berpuas hati dengan beberapa peruntukannya dan menuntut lebih banyak kebebasan.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan Tinggi memaklumkan tiada rancangan memansuhkan Auku sepenuhnya, walaupun akta berkenaan telah dipinda beberapa kali sejak diperkenalkan pada 1971.

Author: admin