Auku akan dimansuhkan, kata Anwar

auku protest
Kumpulan pelajar Sekretariat Mansuh Auku melancarkan kempen di seluruh negara menggesa akta itu dimansuhkan pada April lalu.

HANG TUAH JAYA: Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku) akan dimansuhkan kerana ada perkara belum memuaskan hati mahasiswa selepas beberapa pindaan dilakukan.

“Anak-anak mahasiswa merasakan mereka harus bebas, kita sudah bebaskan dengan pindaan Auku, masih ada yang tidak puas hati, mereka mengemukakan memo.

“Maka, hari ini saya nak umumkan kita akan mansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti,” kata presiden PKR itu ketika menyampaikam ucapan dasarnya sempena Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di sini.

Auku melalui tujuh pindaan sejak diperkenalkan pada 1971. Pindaan pertama pada 1971, disusuli 1975, 1983, 1996 dan 2009.

Pindaan pada 2012 membenarkan mahasiswa menyertai kegiatan anjuran parti politik di luar kampus, manakala pindaan terbaharu Seksyen 16B Auku pada 2024 menyatakan tindakan tatatertib ke atas pelajar universiti awam tidak lagi tertakluk di bawah kuasa naib canselor, sebaliknya diputuskan Jawatankuasa Tatatertib Pelajar.

Pindaan kepada Seksyen 15A Auku pula membenarkan Majlis Perwakilan Pelajar dan badan pelajar memungut wang serta menerima sumbangan dalam apa cara sekali pun, tertakluk kepada peraturan dan undang-undang bertulis yang sedang berkuat kuasa.

Anwar berkata, beberapa reformasi pendidikan sebelum ini sudah dilakukan pentadbirannya.

“Apa yang kita lakukan, kemasukan anak-anak di peringkat awal, bahan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) secara lebih teratur, pengambilalihan prasekolah untuk semua anak kita.

“Kita tidak mahu prasekolah itu hanya bagi kalangan elit di bandar dan kelas dua bagi anak-anak di pedalaman dan desa. Maka, itu sudah menjadi tanggungjawab Kementerian Pendidikan.”

Author: admin