
PETALING JAYA: Selepas lebih dua dekad DAP Negeri Sembilan sinonim dengan Loke Siew Fook, J Arul Kumar kini berdepan tugas lebih besar daripada sekadar mengisi kerusi ketua negeri, kata penganalisis.

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting berkata, cabaran sebenar Adun Nilai itu adalah membina identiti dan autoriti sendiri tanpa terus dibayangi Loke yang masih setiausaha agung DAP dan Ahli Parlimen Seremban.
“Persoalannya bukan siapa menggantikan Loke. Persoalannya, mampukah Arul membawa DAP Negeri Sembilan keluar daripada bayang-bayang Loke?” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, pelantikan Arul juga menarik kerana seorang pemimpin India kini mengetuai DAP di negeri yang selama ini sangat sinonim dengan tokoh Cina.
“Ini bukan sekadar pertukaran personaliti. Ia boleh menjadi eksperimen paling menarik DAP untuk membuktikan politik pelbagai kaum bukan sekadar slogan. Tetapi simbol sahaja tidak cukup. Arul perlu membina autoriti sendiri,” katanya.
Zaharuddin berkata, Negeri Sembilan boleh menjadi ‘makmal’ DAP untuk menguji formula kepimpinan pasca-Loke. Jika Arul berjaya, katanya, parti memperoleh lebih daripada seorang pengerusi negeri, sebaliknya formula kepimpinan baharu.
“Jika gagal, lawan politik akan mendapat peluru baharu bahawa kepimpinan pelbagai kaum DAP hanya cantik di atas poster,” katanya.
Pada 10 Ogos, Arul yang menjadi Adun Nilai sejak 2013 dilantik sebagai pengerusi DAP Negeri Sembilan berkuat kuasa serta-merta dalam mesyuarat jawatankuasa negeri dipengerusikan Loke di Seremban.
Loke menyifatkan pemilihan Arul sebagai perkembangan positif yang membuktikan DAP parti berbilang kaum, dengan pemimpin dinilai berdasarkan kelayakan dan kebolehan.
Ahli Parlimen Seremban itu melepaskan jawatan pengerusi selepas DAP kalah di DUN Chennah yang dipertahankannya pada PRN Negeri Sembilan, 1 Ogos lalu.

Sementara itu, Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, kedudukan Arul boleh menjadi lebih penting dari segi imej parti jika beliau diberikan peranan kepimpinan lebih besar, termasuk ketua pembangkang atau pengerusi negeri.
Namun, Lau berkata pertukaran pengerusi negeri tidak semestinya mengubah pengaruh politik DAP secara ketara kerana bagi negeri seperti Negeri Sembilan, Selangor dan Johor, kepimpinan pusat lebih penting daripada struktur negeri.
“Pengunduran Loke sebagai pengerusi negeri tidak bermakna beliau akan disisihkan atau kehilangan pengaruh,” katanya.
Chin Yee Mun dari Universiti Utara Malaysia pula berkata, pengaruh Loke dijangka kekal dirasai kerana beliau masih setiausaha agung DAP dan Ahli Parlimen Seremban.
“Saya rasa aura Loke dalam DAP Negeri Sembilan tetap ada walaupun beliau bukan lagi pengerusi. Kehadirannya di Negeri Sembilan tetap terasa,” katanya, sambil menambah perubahan ketua negeri tidak semestinya menamatkan pengaruh Loke kerana politik dalaman DAP lebih tertumpu kepada kepimpinan pusat.
