
PETALING JAYA: Pakar keselamatan siber menggesa kerajaan lebih telus mengenai projek awan kecerdasan buatan (AI) berdaulat bernilai RM2 bilion.
Mereka berkata sejak diumumkan menerusi Belanjawan 2026, Oktober tahun lalu, tiada perkembangan mengenai projek itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Novem CS T Murugason berkata maklumat kepada umum mengenai pelaksanaan projek berkenaan setakat ini ‘agak terhad’.

Murugason, yang menerajui firma pakar keselamatan siber khusus berpangkalan di Petaling Jaya itu, berkata skala projek berkenaan sememangnya memerlukan perancangan dan pelaksanaan yang teliti, namun ketiadaan maklumat untuk tempoh yang panjang menimbulkan ketidakpastian.
Menurutnya, kerajaan khususnya perlu telus mengenai kerjasama dengan syarikat teknologi antarabangsa dalam pembangunan awan AI berdaulat itu kerana antara matlamat projek berkenaan adalah mengelakkan negara terlalu bergantung kepada teknologi asing.
Projek yang akan diterajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia itu melibatkan pembangunan infrastruktur tempatan yang selamat bagi memastikan data kritikal kerajaan kekal disimpan dalam negara demi melindungi keselamatan negara.
Murugason berkata Malaysia perlu mendedahkan syarikat antarabangsa yang terbabit dalam pembangunan awan AI itu serta bentuk kerjasama yang dijalinkan.
“Ini bukan soal menolak penyertaan asing atau menggalakkan nasionalisme teknologi. Sebaliknya, kerjasama antarabangsa hampir pasti diperlukan untuk menjayakan projek serumit ini,” katanya kepada FMT.
Penasihat bahagian AI Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia, Jay Chooi, berkata manfaat projek itu bergantung kepada sejauh mana sistem awan berkenaan benar-benar berada di bawah kawalan dan pengendalian Malaysia.

Beliau berkata awan berdaulat yang diurus dengan baik akan membolehkan semua rakyat Malaysia mengakses AI tanpa bergantung kepada infrastruktur di negara lain, terutama ketika teknologi itu semakin penting kepada sumber pendapatan dan kehidupan ekonomi rakyat.
“Tanpa awan AI berdaulat, kita sebenarnya membiarkan negara lain menentukan sama ada rakyat biasa Malaysia boleh mendapat akses kepada AI.
“Kesannya boleh dianggap sama serius seperti membiarkan negara lain menentukan sama ada rakyat Malaysia boleh mendapat akses kepada internet atau bekalan elektrik,” katanya.
Chooi berkata AI mungkin tidak lama lagi digunakan untuk mengendalikan infrastruktur negara seperti pengangkutan, tenaga dan penjagaan kesihatan, sekali gus menunjukkan betapa pentingnya Malaysia mempunyai akses AI yang selamat menerusi sistem awannya sendiri.
“Dalam keadaan itu, kehilangan akses kepada AI secara tiba-tiba boleh menjejaskan seluruh negara,” katanya.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata awan AI berdaulat itu akan menjamin keupayaan AI negara, di samping memastikan Malaysia tidak sekadar menjadi pengguna teknologi global.
Satu penyedia atau pelbagai vendor?
Murugason berkata Putrajaya perlu menjelaskan sama ada projek itu akan dibangunkan dengan bergantung terutamanya kepada satu penyedia teknologi atau menggunakan pendekatan lebih pelbagai dengan melibatkan beberapa vendor.
“Mendedahkan maklumat seperti itu tidak akan menjejaskan keselamatan negara.
“Bagi projek bernilai RM2 bilion yang akan menjadi asas kepada aspirasi AI Malaysia untuk tahun-tahun akan datang, ketelusan bukan sekadar langkah perhubungan awam yang boleh dibuat atau diketepikan, tetapi satu keperluan strategik.”
Murugason berkata projek seumpama itu di negara lain turut menimbulkan persoalan mengenai kos, kebergantungan kepada vendor serta pertimbangan geopolitik.
Beliau mencadangkan Putrajaya menerbitkan perkembangan projek setiap suku tahun, termasuk mengenai pencapaian sasaran, kemajuan perolehan, kaedah tadbir urus, jadual pelaksanaan serta langkah pengurusan risiko.
“Ini akan memberi keyakinan kepada rakyat, pelabur, pemain industri dan rakan antarabangsa bahawa projek berkenaan masih berjalan mengikut perancangan dan diurus secara bertanggungjawab.”
Chooi turut menyambut baik sekiranya perkembangan projek besar itu diumumkan secara berkala kerana ketelusan dapat meningkatkan kepercayaan awam, selain memastikan pihak yang terbabit bertanggungjawab terhadap peranan masing-masing.
Awan berdaulat penting untuk keselamatan data
Murugason berkata antara manfaat terbesar projek itu ialah perlindungan lebih kukuh terhadap data peribadi dan data negara, dengan memastikan maklumat sensitif utama kekal tertakluk kepada bidang kuasa Malaysia.
“Ketika data menjadi antara sumber strategik paling bernilai di dunia, semakin banyak negara mahu mempunyai kawalan lebih besar terhadap lokasi maklumat mereka disimpan dan cara ia boleh diakses,” katanya.
Dengan AI dijangka menjana aktiviti ekonomi bernilai berbilion ringgit dalam tempoh sedekad akan datang, Murugason berkata keupayaan tempatan juga akan memastikan nilai ekonomi itu kekal dalam negara serta membantu Malaysia mengekalkan hak harta inteleknya.
Menurutnya, satu lagi manfaat ialah keupayaan membangunkan AI tempatan yang lebih memahami Bahasa Melayu, dialek tempatan serta keunikan dan nilai masyarakat Malaysia.
“Keupayaan seperti ini akan menghasilkan sistem AI yang lebih relevan, inklusif dan berkesan untuk digunakan dalam kerajaan, perniagaan dan masyarakat,” katanya.
