
KUANTAN: Pemandu dan penumpang sebuah kereta dipercayai rentung selepas dihempap lori tangki yang membawa muatan bahan api sebelum terbakar di Kilometer 9 Jalan Temerloh–Triang, petang tadi.
Ketua Polis Temerloh, Nasyim Bahron, berkata jumlah dan butiran mangsa yang terlibat masih belum diketahui.
Polis menerima maklumat daripada orang awam tentang kejadian itu kira-kira 4.30 petang.
“Siasatan awal mendapati lori tangki yang membawa 32,000 liter diesel dan petrol dari Seremban, Negeri Sembilan menghala ke Temerloh dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan menghempap sebuah kereta.
“Kedua-dua kenderaan kemudian terbakar, bagaimanapun pemandu lori berumur 37 tahun berjaya menyelamatkan diri dan hanya mengalami cedera ringan,” katanya.
Nasyim berkata pemandu dan penumpang kereta berkenaan dipercayai gagal menyelamatkan diri serta terbakar dalam kejadian itu.
Beliau berkata keadaan kereta yang remuk dan kebakaran melibatkan bahan api menyebabkan operasi pemadaman mengambil masa.
“Api baru dapat dipadamkan, bomba dan polis di lokasi kejadian sedang berusaha mendapatkan pengesahan identiti dan jumlah mangsa,” katanya.
Beliau berkata pemandu lori tangki berkenaan akan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan.
