Beberapa kawasan di Puncak Alam dilanda banjir kilat

Pengguna media sosial kongsi video keadaan banjir kilat berlaku di Puncak Alam petang tadi.

SHAH ALAM: Beberapa kawasan di Puncak Alam dinaiki air selepas hujan lebat kira-kira sejam pada tengah hari tadi, dengan air sedalam kira-kira 0.3m direkodkan di Jalan Persiaran Puncak Alam 6.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Selangor Ashrul Riezal Asbar berkata, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya menjalankan pemantauan risiko banjir di kawasan itu pada 3.45 petang.

Hasil pemantauan itu, katanya, didapati berlaku limpahan air di atas permukaan jalan dengan kedalaman kira-kira 0.3m (satu kaki), namun tiada pemindahan penduduk dilakukan.

Sementara itu, tinjauan dalam media sosial mendapati beberapa pengguna berkongsi situasi banjir kilat di kawasan Puncak Alam susulan hujan lebat.

Pengguna Threads dengan nama akaun dayangd_na berkongsi video keadaan di sebuah kawasan perumahan di Puncak Alam dan memaklumkan air mula naik selepas hujan lebat kira-kira sejam.

“Tak pernah lah banjir baru hujan lebat sejam lebih terus naik air. Nervous kejap sebab risau kereta di luar. Orang-orang Puncak Alam yang lain okey tak tu?” katanya.

Seorang lagi pengguna, _xmmmmmmmm, berkongsi gambar keadaan banjir di Jalan Medan Puncak Alam, memaklumkan beliau terpaksa membuat pusingan U selepas beberapa laluan di kawasan berkenaan dinaiki air.

Turut dikongsikan pengguna Threads akhrim_abs_official ialah video yang menunjukkan air memasuki sebuah pusat jualan kereta di Jalan Persiaran Puncak Alam.

Author: admin