
HANG TUAH JAYA: Penyertaan bekas ahli PKR dalam Parti Bersama Malaysia (Bersama) tidak menjejaskan kekuatan organisasi PKR secara keseluruhan, kata Ketua Pemuda Kamil Munim.
Beliau berkata, sokongan akar umbi terhadap PKR masih kukuh, berdasarkan kehadiran tinggi perwakilan pada Kongres Nasional Tahunan Pemuda PKR yang bermula hari ini.
“Ahli parti terus memberikan sokongan dan hadir ke persidangan perwakilan dengan jumlah yang sangat tinggi.
“Ini menunjukkan komitmen dan tekad mereka untuk terus bersama PKR,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
Kamil mengulas dakwaan bekas timbalan presiden Rafizi Ramli, sebahagian ahli PKR menyertai Bersama selepas kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada PRN Negeri Sembilan awal bulan ini.
Rafizi yang juga pengasas Bersama pada Rabu mendakwa, kira-kira 25% keahlian parti baharu itu terdiri bekas anggota PKR, manakala 15% lagi bekas anggota parti lain termasuk Umno, PAS dan Bersatu.
Baki 60%, katanya, terdiri individu tidak pernah menyertai mana-mana parti politik.
Kamil tidak menafikan ada anggota PKR yang keluar parti dan menyertai Bersama, namun berkata jumlah itu tidak signifikan.
“Saya tidak menafikan memang ada permohonan dibuat oleh anggota parti sebelum ini untuk keluar parti.
“Ada yang memberikan alasan sudah hilang kepercayaan terhadap parti dan memilih untuk bersama parti yang diasaskan oleh Rafizi.
“Saya tidak tahu jumlah tepatnya, tetapi berdasarkan laporan dan angka yang kita terima, jumlah itu tidak signifikan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui kemunculan Bersama memberi sedikit kesan kepada PKR, terutama di kawasan yang parti itu bertanding dalam segmen pengundi sama.
Katanya, perkara itu akan dijadikan pengajaran untuk PKR meraih lebih banyak sokongan pada pilihan raya akan datang.
“Kita melihat perkara itu di dua kawasan, iaitu Bukit Batu dan Perling (pada PRN Johor), yang mempunyai calon daripada parti tersebut.
“Sebelum ini, kita tewas dengan majoriti sangat kecil dan sedikit perubahan undi boleh memberi kesan kepada keputusan,” katanya.
