Rasuah dilakukan individu bukan parti, kata Hamzah

HAMZAH ZAINUDIN
Hamzah Zainudin berkata tidak adil mengaitkan keseluruhan sesebuah parti dengan rasuah hanya kerana salah laku individu.

PETALING JAYA: Dakwaan rasuah membabitkan individu tidak wajar dijadikan alasan menolak kerjasama antara parti termasuk persefahaman Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), kata Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan) Hamzah Zainudin.

Dalam temu bual FMT, timbalan pengerusi PN itu menegaskan persepsi mengaitkan keseluruhan sesebuah parti dengan rasuah hanya kerana salah laku individu disifatkan tidak adil.

“Yang melakukan rasuah bukannya parti dan yang bergabung ini parti… jadi janganlah bercakap seolah-olah samakan parti dan mereka yang melakukan rasuah.

“Yang melakukan rasuah itu individu. Persepsi mengatakan parti melakukan rasuah tidak adil kepada mana-mana parti,” katanya mengulas usaha penyatuan Melayu menerusi PN-BN tidak membawa makna jika parti terlibat dikaitkan dengan rasuah.

Persefahaman kedua-duanya terjalin pada PRN Negeri Sembilan, awal bulan ini menyaksikannya menang 25 daripada 36 DUN yang kebanyakkan kerusi Melayu, sekali gus membolehkannya membentuk kerajaan.

Bagaimanapun kerjasama membawa naratif penyatuan Melayu-Islam itu turut terpalit dakwaan rasuah dan salah guna kuasa membabitkan BN yang dikaitkan ketika gabungan terbabit memerintah kerajaan persekutuan sehingga 2018.

Antaranya berkait dakwaan penyelewengan 1MDB dan terbaharu Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) yang dinyahklasifikasi dan didedahkan kepada umum pada 29 Julai, kira-kira empat tahun selepas siasatan.

Laporan itu mendedahkan kelemahan serius dalam tadbir urus, pelaburan dan pengurusan kewangan TH, selain mengesyorkan rombakan besar terhadap organisasi berkenaan.

Ditanya sama ada penyatuan Melayu akan terus menjadi pertimbangan penting menjelang pilihan raya, Hamzah berkata landskap politik semasa menuntut perpaduan rakyat dijadikan agenda utama.

Bagaimanapun, katanya, realiti demografi negara perlu diambil kira dalam usaha membentuk agenda politik yang boleh diterima semua kelompok.

Ketua pembangkang itu menekankan penyatuan kumpulan majoriti yang kemudian disertai masyarakat lain mampu menghasilkan matlamat bersama untuk negara.

“Kalaulah yang majoriti tak bersatu, maka susah kita nak memastikan matlamat mencapai sebuah negara maju.

“Kalau semua sudah mempunyai satu fikiran, tujuan, matlamat, maka penyatuan itu boleh membawa satu agenda untuk rakyat, negara dan masa depan lebih baik,” katanya sambil menyatakan kesediaan Wawasan menjadi jambatan pelbagai parti.

“Ini salah satu agenda di mana Wawasan mahu menjadi tonggak atau peranan utama diberi kepada kita.”

Author: admin