‘Paksa daftar keahlian’: PKR Pahang dapatkan penjelasan, teliti tatacara

Zukri Aksah
Setiausaha PKR Pahang Zukri Aksah berkata parti akan meneliti tatacara digunakan termasuk penerangan kepada penerima, pengendalian maklumat peribadi, serta proses pendaftaran keahlian menerusi aplikasi Adil serta pengesahan eKYC. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: PKR Pahang akan mendapatkan penjelasan penuh daripada penganjur program pengagihan bakul makanan berhampiran Kuantan susulan dakwaan bahawa penerimanya didaftarkan sebagai ahli PKR tanpa pengetahuan mereka.

Setiausaha PKR Pahang Zukri Aksah berkata, pihaknya memandang serius dakwaan itu dan menegaskan semua permohonan keanggotaan mesti dibuat secara sukarela dan dengan pengetahuan serta persetujuan jelas daripada pemohon.

Dalam hantaran di Facebook, Zukri berkata parti akan meneliti tatacara yang digunakan dalam program itu, termasuk penerangan kepada penerima, pengendalian maklumat peribadi, serta proses pendaftaran keahlian menerusi aplikasi Adil serta pengesahan eKYC.

“Sekiranya terdapat kekeliruan atau ketidakpatuhan terhadap tatacara yang ditetapkan, tindakan pembetulan sewajarnya akan diambil.

“…Pemberian bakul makanan tidak boleh dijadikan syarat, balasan atau dorongan bagi seseorang mendaftar sebagai anggota parti.

“Tiada dasar atau arahan parti yang membenarkan sebarang bentuk paksaan dalam urusan keanggotaan,” katanya.

Zukri berkata, PKR Pahang komited memastikan setiap program parti dilaksanakan secara telus, berintegriti dan menghormati pilihan rakyat.

Sebuah portal berita baru-baru ini melaporkan penerima bantuan makanan yang diagihkan PKR cawangan Indera Mahkota pada 9 Ogos lalu didakwa telah didaftarkan sebagai ahli parti tanpa pengetahuan mereka.

ADUN PKR Semambu Chan Chun Kuang semalam menggesa parti menyiasat dakwaan berkenaan.

Chan berkata, bantuan patut diagihkan berdasarkan keperluan tanpa mengira kaum, agama atau aliran politik. Katanya, keahlian parti patut berasaskan kepercayaan seseorang terhadap prinsip dan perjuangan parti.

Author: admin