
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Rosol Wahid menerima permohonan maaf bekas pemimpin Pemuda PKR Pulau Pinang, Nur Mushawwir Hrsikesa Thaitchana Muruthi berhubung penyebaran gambarnya yang diubah suai di media sosial.
Rosol berkata, beliau tidak berhasrat meneruskan tindakan undang-undang selepas Mushawwir memadam gambar berkenaan dan membuat permohonan maaf secara terbuka.
Katanya, beliau menghantar surat tuntutan (LOD) kepada Mushawwir malam tadi, namun tidak pasti sama ada ia sempat diterima sebelum permohonan maaf dibuat.
“Sebenarnya, saya tidak kisah sangat soal itu (gambar diubah suai) sebab dalam politik perkara biasa. Cuma ada yang beri nasihat supaya kita hantar LOD.
“Malam tadi kita hantar LOD, kemudian beliau telah memadam gambar dan memohon maaf. Jadi, memandangkan beliau telah memohon maaf dan memadam gambar tersebut, saya tidak berhasrat memanjangkan isu itu,” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun, Rosol menasihatkan Mushawwir dan pemimpin politik tanpa mengira parti menjadikan perkara itu sebagai pengajaran serta lebih berhati-hati ketika melakukan sebarang tindakan.
Katanya, perbezaan politik tidak seharusnya menyebabkan seseorang bertindak terlalu ekstrem kerana hubungan politik boleh berubah pada bila-bila masa.
“Dalam politik ini tiada musuh yang kekal, tiada kawan yang kekal. Kita kena berpada-pada dalam membuat tindakan.
“Hari ini mungkin kita berlawan politik, esok lusa mungkin kita kawan. Jangan terlalu taasub dalam apa-apa tindakan yang hendak dilakukan.
“Saya anggap isu itu boleh dijadikan sebagai pengajaran kepada beliau dan pemimpin politik lain, khususnya orang muda, tidak kira daripada mana-mana parti,” katanya.
Semalam, Rosol menuntut Mushawwir memohon maaf selepas memuat naik dan menyebarkan gambarnya di Dewan Rakyat yang diubah suai dengan mengenakan persalinan pengantin perempuan.
Mushawwir, yang juga penolong pengarah Jabatan Landskap Majlis Bandaraya Seberang Perai kemudian membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Rosol dan memadam gambar berkenaan.
