KPM digesa ganti ‘aku janji’ kepada ikrar komitmen elak polemik

Setiausaha Agung NUTP Fouzi Singon berkata langkah mengikat guru menerusi dokumen bertulis berpotensi mencetuskan isu perundangan pada masa hadapan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) digesa menggantikan keperluan menandatangani dokumen ‘aku janji’ berhubung kepatuhan polisi perlindungan murid sekolah kepada ikrar komitmen bersama bagi mengelakkan polemik serta keresahan.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon, berkata langkah mengikat guru menerusi dokumen bertulis sedemikian berpotensi mencetuskan isu perundangan pada masa hadapan.

Katanya, peraturan sedia ada yang dilaksanakan oleh guru dan ibu bapa sudah memadai memandangkan masing-masing sedia maklum peranan serta tanggungjawab yang perlu dipikul.

fouzi singon
Fouzi Singon.

“Ibu bapa dan guru mempunyai matlamat sama iaitu memastikan anak-anak selesa dan rasa selamat sepanjang berada di sekolah.

“Mengapa KPM harus menimbulkan polemik tandatangan aku janji jika cukup sekadar ikrar sebagai tanda komitmen bersama?” katanya kepada FMT.

Fouzi berkata, biarpun perundingan adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan isu itu, kesatuan bersedia membawa perkara berkenaan ke mahkamah demi mempertahankan hak serta mendengar hasrat ahli mereka.

Terdahulu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, dilaporkan berkata KPM akan meneliti isu dokumen aku janji dan memperincikan pelaksanaan Polisi Perlindungan Murid Sekolah menerusi sesi khas bersama pemegang taruh.

Fadhlina meminta semua guru bertenang dan memberi ruang kepada KPM untuk menerangkan perkara itu secara menyeluruh.

Beliau turut memaklumkan sudah mengarahkan ketua pengarah pendidikan dan penasihat undang-undang KPM mengadakan pertemuan bersama pihak berkepentingan bagi meneliti setiap kebimbangan serta isu diutarakan warga pendidik.

Ini selepas NUTP membangkitkan kebimbangan mengenai arahan menandatangani borang aku janji berhubung kepatuhan polisi tersebut seperti terkandung dalam Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) KPM Bil. 4 2026 bertarikh 1 Julai 2026, yang disifatkan menidakkan usaha serta perkhidmatan guru selama ini.

Author: admin