Pemandu mabuk dijel sehari, denda 13,500

Mahkamah Majistret Batu Pahat
Mahkamah Majistret Batu Pahat turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan, jika gagal membayar denda dan lesen memandunya digantung dua tahun bermula hari ini. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang ahli perniagaan didenda RM13,500 dan dipenjara sehari oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk.

Berita Harian melaporkan Edwin Lim Teng Guo, 26, mengaku bersalah selepas pertuduhan di bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) dibacakan di depan Majistret Mustaqim Sukarno.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan, jika gagal membayar denda dan lesen memandunya digantung dua tahun bermula hari ini. Dia membayar denda itu kemudian.

Tertuduh didakwa memandu Toyota Alphard dalam keadaan mabuk dengan kandungan alkohol dalam darah 89mg/100ml melebihi had ditetapkan 50mg/100ml di Jalan Seluang pada 1.05 pagi 8 Ogos lalu.

Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) memperuntukkan denda maksimum RM30,000 dan penjara sehingga dua tahun serta hilang kelayakan lesen memandu.

Author: admin