
SEPANG: Jabatan Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menumpaskan empat kes penyeludupan membabitkan 1.53 juta batang rokok putih dan 60.47kg bunga ganja dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk duti serta cukai melebihi RM6.17 juta bulan lalu.
Pengarah Kastam KLIA, Aspalila Ag Tuah, berkata dua kes itu membabitkan penyeludupan rokok di Zon Perdagangan Bebas KLIA, manakala dua lagi melibatkan bunga ganja, termasuk 47.8kg dadah bernilai RM3.824 juta yang ditemui dalam dua bagasi ditinggalkan di pejabat ‘Lost and Found’, Balai Ketibaan Antarabangsa Terminal 1 KLIA.
Jelasnya, dua bagasi itu pada asalnya dijadualkan dibawa menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Langkawi pada 14 Julai lalu, namun ditinggalkan penumpang.
Hasil imbasan mengesan imej mencurigakan sebelum pemeriksaan lanjut menemui bungkusan plastik kedap udara dipercayai mengandungi bunga ganja.
“Syarikat penerbangan telah dipanggil bagi membantu mengesan pemilik bagasi berkenaan,” katanya pada sidang media di sini.
Beliau berkata, 12.675kg bunga ganja bernilai RM1.014 juta yang disembunyikan dalam kotak permainan kanak-kanak dirampas pada 13 Julai lalu.
Menurutnya, dadah itu ditemui dalam empat bungkusan di cawangan pusat mel dan kurier Kastam KLIA yang dipercayai hendak dieksport ke sebuah negara Eropah menggunakan perkhidmatan kargo.
“Modus operandi sindiket adalah menyembunyikan bunga ganja dalam plastik kedap udara sebelum dimasukkan ke dalam kotak permainan kanak-kanak bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya sambil menambah dua kes dadah itu masih dalam siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, Aspalila berkata, Kastam KLIA turut menggagalkan dua cubaan penyeludupan 1.53 juta batang rokok putih pada 29 dan 30 Julai lalu, dengan nilai rokok, duti serta cukai keseluruhan kira-kira RM1.35 juta.
Dalam kes pertama, katanya, pemeriksaan sebuah gudang di Zon Perdagangan Bebas KLIA pada 29 Julai lalu menemui 410,000 batang rokok putih disyaki tidak berkastam yang dibawa masuk menerusi satu bil muatan udara dari sebuah negara Asia Barat.
Jelasnya, rokok bernilai kira-kira RM102,000 itu membabitkan duti dan cukai RM290,152.
“Bagi mengaburi pihak berkuasa dan mengelak keperluan permit import, dagangan berkenaan diisytiharkan sebagai barangan pakaian.”
Sehari kemudian, Aspalila berkata, 1.12 juta batang rokok putih bernilai RM168,000 dengan duti dan cukai RM786,400 ditemui dalam sebuah gudang di zon sama.
“Kali ini, dagangan berkenaan diisytiharkan sebagai ‘slippers’ bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya sambil menambah rokok itu tiba dari sebuah negara Asia untuk transit dan dipercayai akan dihantar ke sebuah negara di Oceania.
Beliau berkata, syarikat pengendali penghantaran barangan bagi dua kes itu telah dipanggil untuk membantu siasatan.
