Bekas ketua audit negara terkilan tak dipanggil prosiding RCI TH, hak didengari dinafikan

Madinah Mohamad
Bekas ketua audit negara Madinah Mohamad berkata keputusan mengeluarkan Emphasis of Matter dibuat berasaskan bukti audit dan piawaian audit antarabangsa. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bekas ketua audit negara, Madinah Mohamad terkilan kerana tidak dipanggil ketika prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH), walaupun beliau sedia memberi keterangan kepada panel siasatan itu.

Ketua audit negara dari 2017 hingga 2019 itu mendedahkan beliau sudah berada di pejabat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ketika prosiding RCI TH.

“Saya sudah pergi ke sana pada hari dan masa ditetapkan di Jakim. Saya menunggu lebih dari 30 minit, tetapi terkilan akhirnya tidak dipanggil.

“Hak saya untuk didengari dinafikan apabila tidak dipanggil dalam prosiding itu, walaupun sudah hadir dan menunggu di situ,” katanya menurut Berita Harian.

Laporan RCI setebal 211 halaman berhubung siasatan ke atas pengurusan dan operasi TH dari 2014 hingga 2020 disiapkan pada Julai 2022.

Laporan itu, yang dinyahklasifikasikan dan dikeluarkan Jakim pada 29 Julai lalu, melaporkan wujud ketidaktegasan ketua audit negara.

RCI melaporkan penyata kewangan TH dari 2014 hingga 2017 diberikan Sijil Audit Bersih oleh ketua audit negara, walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebut mengenai Emphasis of Matter (EOM).

EOM bertujuan menarik perhatian pengguna terhadap perkara yang didedahkan dengan sewajarnya dalam penyata kewangan, tetapi dianggap penting untuk difahami pengguna penyata kewangan.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada sidang khas Dewan Rakyat mengenai laporan RCI TH kelmarin menegaskan, keadilan perlu diberi kepada bekas ketua audit negara yang tidak dipanggil ketika prosiding RCI itu dijalankan empat tahun lalu.

Katanya, skop RCI meliputi tempoh 2014 hingga 2020 dan laporan itu merumuskan isu kedudukan kewangan TH sudah wujud sejak 2014, tetapi penyata kewangan bagi 2014 hingga 2016 sudah diaudit dan diberikan Sijil Audit Bersih oleh ketua audit negara ketika itu.

Madinah berkata, sebarang keputusan dibuatnya berhubung isu TH pada 2017 berdasarkan kepentingan negara dan atas dasar itu, beliau mengeluarkan Sijil Audit Bersih serta dua EOM kepada TH pada Julai 2017.

“Jika kita memahami aspek perakaunan, pengeluaran EOM bermaksud penyata kewangan itu memerlukan perhatian.

“Ketika itu saya menggunakan pertimbangan profesional untuk mengeluarkan EOM bagi menarik perhatian terhadap dua perkara material yang dikenal pasti semasa audit dan saya sudah jalankan tugas sebaik mungkin.”

Mengikut Akta Audit 1957, tegasnya, ketua audit negara bertanggungjawab melaksanakan audit secara bebas dan profesional demi kepentingan awam, justeru keputusan mengeluarkan EOM dibuat berasaskan bukti audit dan piawaian audit antarabangsa.

“Sekiranya Sijil Berteguran dikeluarkan tanpa memenuhi kehendak piawaian, ia bukan saja menjejaskan integriti proses pengauditan, malah boleh memberi implikasi besar kepada keyakinan pemegang kepentingan.”

Author: admin