
PETALING JAYA: Sebuah tren di laluan LRT Kelana Jaya mengalami kerosakan ketika dalam perjalanan dari stesen Taman Jaya ke stesen Universiti pagi ini.
Menurut seorang penumpang, bunyi dentuman kuat kedengaran sebelum tren berhenti secara tiba-tiba, menyebabkan beberapa penumpang hilang imbangan dan terjatuh.
Katanya, beberapa penumpang kemudiannya menghubungi talian kecemasan RapidKL.
Tren berkenaan tidak bergerak di landasan selama kira-kira 20 minit sebelum kakitangan RapidKL, datang membantu penumpang berpindah ke tren lain yang berada di landasan sebelah.
Dalam satu hantaran di X, RapidKL berkata laluan Kelana Jaya mengalami kelewatan selepas sebuah tren terhenti akibat gangguan bekalan kuasa di stesen Universiti.
FMT menghubungi RapidKL untuk mendapatkan ulasan lanjut.
