
PETALING JAYA: Seorang pengguna media sosial Thread memohon maaf kepada Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Rosol Wahid kerana memuat naik gambar pemimpin Perikatan Nasional itu yang diubah suai.
Nur Mushawwir Hrsikesa Thaitchana Muruthi yang juga pemimpin pemuda PKR Pulau Pinang tetapi tidak lagi aktif berkata beliau juga akan memadam gambar berkenaan.
“Saya akan padam hantaran dan buat permohonan maaf di Thread kepada Parlimen Hulu Terengganu.
“Saya tidak lagi aktif dalam politik dan tidak lagi memegang jawatan politik,” katanya kepada FMT.
Terdahulu Rosol menuntut seorang warga net memohon maaf atas gambar diubah suai yang tersebar di platform Thread.
Rosol berkata beliau mengambil serius tindakan Mushawwir memuat naik dan menyebarkan gambarnya di Dewan Rakyat, yang telah diubah suai dengan berpakaian persalinan pengantin perempuan.
Katanya, beliau berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang dan menuntut Mushawwir mana-mana pihak mengulang siar hantaran itu untuk memadam hantaran berkenaan serta-merta dan membuat permohonan maaf secara terbuka dengan segera.
Katanya, perbuatan tersebut amat tidak wajar, berniat mengaibkan serta menjejaskan maruah dan reputasi beliau sebagai seorang Muslim dan Ahli Parlimen.
“Kebebasan bersuara tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghina, mengaibkan atau menjatuhkan maruah seseorang, apatah lagi yang melanggar batas dan adab dalam Islam,” katanya.
Media pada Selasa, melaporkan Rosol ketika di Dewan Rakyat menyifatkan sidang khas mengenai laporan suruhanjaya siasatan diraja berkaitan Tabung Haji tidak lengkap, seolah-olah majlis perkahwinan diadakan tanpa pengantin.
Speaker Johari Abdul kemudian menegaskan bahawa majlis itu adalah suatu persidangan, dan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi ada di Dewan Rakyat untuk mewakili Jemaah Menteri.
