
PETALING JAYA: Polis Thailand menahan seorang rakyat Malaysia dan merampas 166kg dadah jenis methamphetamine kristal atau syabu bernilai lebih RM8 juta selepas cuba mengelak sekatan jalan raya di Hua Hin, Wilayah Prachuap Khiri Khan, Sabtu lalu.
Jurucakap keselamatan Thailand berkata, pihaknya sebelum itu memintas sebuah BMW putih yang disyaki membawa dadah dari Bangkok menuju ke selatan Thailand.
Menurutnya, tindakan dilakukan susulan maklumat diterima mengenai kenderaan yang membawa sejumlah besar dadah akan melalui kawasan terbabit.
“Kenderaan menggunakan nombor pendaftaran Bangkok cuba ditahan susulan maklumat itu namun pemandunya berusaha mengelak daripada melalui sekatan jalan raya.
“Anggota polis kemudian mengejar kenderaan itu sebelum berjaya menahannya di luar sebuah kedai serbaneka berhampiran Hua Hin Grand.
“Pemandu berusia 20 tahun yang merupakan warga Malaysia kemudian ditahan kira-kira 12.30 tengah malam. Beberapa beg pakaian turut ditemui dalam kenderaan terbabit,” katanya, lapor Berita Harian.
Jurucakap berkata, suspek mendakwa beg pakaian itu bukan miliknya dan dia tidak tahu kombinasi nombor untuk membukanya.
“Suspek dibawa kembali ke sekatan jalan raya sebelum pemeriksaan dilakukan dengan persetujuan suspek.
“Hasil pemeriksaan mendapati beg pakaian itu mengandungi methamphetamine kristal seberat keseluruhan 166kg. Kereta berkenaan turut disita untuk dijadikan bahan bukti,” katanya.
Selain itu, jurucakap berkata rampasan terbabit merupakan hasil siasatan terhadap rangkaian pengedaran dadah yang disyaki menggunakan Hua Hin sebagai lokasi transit kenderaan membawa dadah ke selatan Thailand.
Siasatan polis Thailand mendapati dadah berkenaan bukan untuk diedarkan di Hua Hin, sebaliknya dipercayai dibawa ke Hat Yai dan tiga wilayah di selatan Thailand.
“Penghantaran itu dipercayai ditempah oleh seorang warga China yang berpangkalan di Bangkok dan terbabit dalam kegiatan perniagaan haram.
“Individu berkenaan didakwa mengarahkan kurier untuk menghantar dadah itu ke lokasi yang ditetapkan. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dilakukan,” katanya.
