Peguam Najib kemuka 109 bantahan terhadap pernyataan saksi bekas CEO 1MDB

najib razak
1MDB mahu mendapatkan semula kira-kira USD5.64 bilion daripada Najib Razak dan beberapa individu lain, yang didakwa membabitkan dana yang diselewengkan. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Peguam bekas perdana menteri Najib Razak, Shafee Abdullah, mengemukakan 109 bantahan terhadap pernyataan saksi bekas presiden dan CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, dalam saman sivil USD5.64 bilion difailkan 1MDB.

Peguam 1MDB Lee Shih memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini Shafee telah menyerahkan 109 bantahan terhadap pernyataan saksi Shahrol setebal 168 muka surat, atas alasan ia mengandungi keterangan dengar cakap serta pendapat.

Lee memberitahu Pesuruhjaya Kehakiman Redzuan Idrus bahawa pasukannya memerlukan masa untuk meneliti semua bantahan itu sebelum memberikan maklum balas di mahkamah.

“Daripada penelitian awal, kira-kira 80% bantahan itu nampaknya berkaitan dakwaan keterangan dengar cakap. Saya lihat perkataan ‘hearsay’ disebut berulang kali,” katanya.

Shahrol sepatutnya memberi keterangan hari ini selepas pakar pemulihan aset luar pesisir, Angela Barkhouse, selesai memberi keterangannya.

Bagaimanapun, susulan perkembangan itu, keterangannya ditangguhkan sehingga esok.

Menurut pernyataan pembukaan 1MDB, Shahrol dijangka memberi keterangan mengenai pelbagai peringkat dalam penipuan yang didakwa berlaku.

1MDB mahu mendapatkan semula kira-kira USD5.64 bilion daripada Najib dan beberapa individu lain, dengan mendakwa dana berkenaan telah diselewengkan.

Dana kekayaan negara itu bersama empat anak syarikatnya — 1MDB Energy Holdings Ltd, 1MDB Energy Ltd, 1MDB Energy (Langat) Ltd dan Global Diversified Investment Company Ltd — memfailkan saman itu pada 7 Mei 2021.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah bekas CEO 1MDB Nik Faisal Ariff Kamil, bekas pengarah eksekutif pembangunan perniagaan Casey Tang dan bekas timbalan ketua pegawai kewangan Terence Geh.

Defendan lain ialah bekas ketua pegawai pelaburan Vincent Beng, bekas ketua pegawai operasi Radhi Mohamad dan bekas pengarah pelaburan Kelvin Tan.

Author: admin