
PETALING JAYA: Kesatuan mewakili anak kapal kabin syarikat penerbangan mengkritik Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing susulan mencadangkan juruterbang dan anak kapal melapor diri lebih awal bagi pemeriksaan prapenerbangan, sambil menegaskan ia menambah beban mereka yang sedia keletihan.
Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) berkata, Tiong sepatutnya sedar anak kapal kabin bekerja di bawah tekanan amat besar dalam persekitaran mencabar, dengan tugas seawal pagi, tamat lewat malam, tempoh tugas panjang, jadual tidak menentu, gangguan tidur, serta jadual penerbangan berubah-ubah.
Katanya, sebarang dasar baharu akan menambah beban setiap pekerja lain dalam industri penerbangan, bukan sahaja anak kapal kabin.
“Mengenakan dasar dua jam tambahan untuk menjalankan ujian saringan dadah prapenerbangan ke atas anak kapal adalah sesuatu yang langsung tidak bertimbang rasa kerana menambah lagi tekanan mental sebelum penerbangan.
“Keletihan juga akan menjejaskan kewaspadaan, tumpuan, masa tindak balas, membuat keputusan, dan keupayaan mereka bertindak berkesan ketika kecemasan sewaktu penerbangan,” kata sekretariat kesatuan itu dalam kenyataan, sambil menambah keletihan bukan sekadar isu kebajikan pekerja, malah masalah keselamatan penerbangan.
Nufam turut mempersoalkan pihak mana yang akan menanggung kos dua jam masa bekerja tambahan untuk staf anak kapal kabin berkenaan. “Adakah menteri akan mendesak syarikat penerbangan dan kerajaan membayar gaji lebih tinggi kepada anak kapal?”
Sebelum ini, Tiong berkata, syarikat penerbangan boleh menetapkan syarat anak kapal melapor tugas satu setengah hingga dua jam lebih awal untuk melepasi ujian saringan dadah sebelum dibenarkan bekerja.
Beliau melontarkan cadangan itu susulan penahanan seorang juruterbang di Indonesia kerana disyaki terlibat dalam penyeludupan dadah seberat 25kg.
‘Anak kapal perlu rehat secukupnya’
Presiden Nufam Ismail Nasaruddin Abdul Wahab, berkata Tiong sepatutnya cakna setiap anak kapal, termasuk juruterbang, mesti menjalani rehat pra-penerbangan yang melibatkan tempoh rehat minimum atau had masa penerbangan mereka.
“Rehat sedemikian sebelum dan selepas penerbangan mesti diambil kira dalam segenap aspek keselamatan mereka serta relevan dengan jadual operasi penerbangan, mencerminkan masa pelaporan mereka sebelum sebarang pelepasan.
“Beliau (Tiong) mesti tahu hakikat bahawa ini juga memenuhi pematuhan peraturan penerbangan,” katanya kepada FMT.
Katanya, anak kapal kabin akan melalui tekanan menjalani saringan dadah prapenerbangan.
“Itu juga bergantung kepada bagaimana mereka mahu mengendalikan ratusan anak kapal dalam satu-satu masa. Ia akan menyebabkan kelewatan pada banyak penerbangan, sekiranya kita bercakap mengenai saringan dadah prapenerbangan,” katanya.
