2 kali saya tolak sertai Wawasan, kata ketua Bersatu N Sembilan

HANIFAH ABU BAKER
Hanifah Abu Bakar dari Bersatu berkata beliau ditawarkan peluang untuk bertanding menggunakan logo PN pada PRN Negeri Sembilan baru-baru ini.

PETALING JAYA: Ketua Bersatu Negeri Sembilan Hanifah Abu Bakar mengesahkan beliau bertemu pemimpin Wawasan, namun menolak tawaran untuk menyertai parti itu.

Mengulas spekulasi mengenai hubungannya dengan Wawasan, Hanifah berkata beliau pertama kali didekati kepimpinan parti itu beberapa hari sebelum hari penamaan calon PRN Negeri Sembilan.

Katanya, beliau ditawarkan peluang untuk bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata pertemuan kedua dengan pemimpin Wawasan diadakan selepas PRN Negeri Sembilan.

“Bagaimanapun, saya menolak semua tawaran untuk menyertai Wawasan kerana saya percaya Bersatu masih berada di landasan yang betul dalam memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan negara, selain yakin dengan kepimpinan (presiden Bersatu) Muhyiddin Yassin,” katanya kepada FMT.

Hanifah menambah, beberapa pemimpin kanan Bersatu mengetahui mengenai pertemuannya dengan kepimpinan Wawasan.

Pada PRN Negeri Sembilan, Hanifah bertanding sebagai calon Bersatu bagi kerusi Labu namun tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) Siti Nur Umaira Hasim, yang memperoleh 4,209 undi berbanding 1,985 undi diterimanya.

Beliau memegang kerusi itu sejak 2023 selepas memenanginya dengan majoriti 1,640 undi.

Author: admin