SPRM bongkar sindiket import ayam sejuk beku tak sah di Sabah

logo sprm macc
Susulan operasi itu, SPRM menahan tiga lelaki berusia lingkungan 30-an hingga 50-an yang berperanan sebagai ejen penghantaran dan pengurus syarikat.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya melumpuhkan sindiket import ayam sejuk beku tidak sah di Sabah yang dipercayai merasuah pegawai pihak berkuasa di sebuah pelabuhan di negeri itu.

Menurut sumber, Ops Chick yang dijalankan oleh Bahagian Perisikan SPRM dengan kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan serta Jabatan Kastam menyaksikan sebanyak 10 kontena ayam sejuk beku yang diimport dari China secara tidak sah telah disita pagi ini.

“Berdasarkan siasatan awal, kontena berisi ayam sejuk beku berkenaan telah diisytihar secara tidak benar dan tidak melalui proses pemeriksaan yang ditetapkan.

“Susulan operasi ini, SPRM menahan tiga lelaki berusia lingkungan 30-an hingga 50-an yang berperanan sebagai ejen penghantaran dan pengurus syarikat… SPRM juga sedang mengenal pasti individu yang terlibat,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan operasi serta tangkapan berkenaan, dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009.

Beliau berkata ketiga-tiga suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu esok bagi proses permohonan reman untuk membantu siasatan.

Author: admin