
PETALING JAYA: Tindakan Ahli Parlimen pembangkang keluar daripada membahaskan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) dikecam walaupun sering bercakap seperti ‘jaguh paling lantang’ mempertahankan kepentingan umat Islam.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Dr Zaliha Mustafa, berkata tindakan keluar beramai-ramai dari Dewan Rakyat bukan ruang untuk melakukan drama politik, lebih-lebih lagi menyentuh soal pengurusan dan amanah wang pendeposit TH.
“Selama ini mereka bercakap seolah-olah merekalah jaguh yang paling lantang mempertahankan Islam dan kepentingan umat Islam.
“Apabila pintu Parlimen dibuka untuk mereka bertanya, mencabar, menyanggah, dan membahaskan setiap dapatan RCI, mereka memilih untuk keluar. Jadi, saya hendak tanya, sebenarnya siapa yang tidak mahu isu TH ini dibahaskan?” katanya dalam kenytaaan di Facebook.
Zaliha berkata, Ahli Parlimen pembangkang terbuka untuk membahaskan laporan RCI TH dengan fakta, termasuk jika mahu membela pihak yang mereka ‘percaya perlu dipertahankan’.
“Tetapi, jangan di luar Dewan bercakap soal ketelusan, soal amanah, soal Islam dan kepentingan umat, kemudian apabila sampai masanya untuk berdepan dengan fakta di dalam Dewan, mereka memilih untuk keluar beramai-ramai,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin, berkata wakil rakyat Bersatu kekal berada dalam Dewan dan menyifatkan mereka sebenarnya ‘Ahli Parlimen pembangkang’.
“Ahli-ahli Parlimen Bersatu adalah pembangkang. Kami tidak akan ‘walk out’. Ini isu penting bagi rakyat dan tidak perlu drama politik. Kami bahkan minta supaya dipanjangkan tempoh perbahasan,” katanya dalam catatan di Facebook.
Hari ini, pembangkang bertindak keluar Dewan Rakyat dan enggan meneruskan perbahasan laporan RCI TH selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak hadir pada sidang khas itu.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Takiyuddin Hassan, sebelum itu berkata kehadiran Anwar penting bagi membolehkan penjelasan menyeluruh diberikan berhubung laporan berkenaan, lebih-lebih lagi sidang khas diadakan atas arahan perdana menteri.
Bagaimanapun, Speaker Johari Abdul menerangkan beliau terikat dengan Peraturan Mesyuarat 11(3) Dewan Rakyat selepas menerima permohonan Anwar mengadakan persidangan khas itu, justeru tiada pilihan selain meneruskannya.
Johari turut menegaskan, ketiadaan Anwar tidak bermakna kerajaan tidak diwakili, kerana timbalan perdana menteri serta menteri lain hadir bagi mewakili Kabinet.
