Anwar mohon maaf tak hadir sidang khas bahas RCI Tabung Haji

ANWAR IBRAHIM
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendoakan persidangan berjalan lancar.

PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim semakin pulih dan akan meneruskan rawatan fisioterapi bawah pemantauan pasukan pakar perubatan.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, memaklumkan Anwar memohon maaf kerana tidak dapat menghadiri sidang khas Parlimen hari ini bagi membahaskan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji.

“Alhamdulillah, keadaan kesihatan perdana menteri semakin baik dan beliau akan terus menjalani rawatan fisioterapi bawah pemantauan pasukan pakar perubatan.

“Pada masa sama, perdana menteri turut memohon maaf kerana tidak dapat bersama dalam sidang khas bagi membahaskan laporan RCI Tabung Haji,” katanya dalam kenyataan.

Anwar bagaimanapun mendoakan persidangan berjalan lancar.

“Beliau akan mengikuti perbahasan secara dekat demi memastikan amanah institusi umat Islam ini terus dipelihara,” katanya.

Tunku Nashrul turut memaklumkan, Anwar merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang mendoakan kesejahteraan dan kesihatannya serta mengirimkan ucapan hari lahir yang ke-79, semalam.

Semalam, Perikatan Nasional (PN) mencadangkan sidang khas Parlimen bagi membentangkan laporan RCI berkaitan TH ditangguhkan ke tarikh sesuai sehingga Anwar pulih dan dapat hadir ke Dewan Rakyat.

Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan, berkata pembentangan laporan itu wajar dibuat sendiri oleh Anwar memandangkan beliau pernah membangkitkan isu tersebut kepada pengetahuan umum.

Takiyuddin berkata, kehadiran Anwar di Dewan Rakyat untuk membentangkan dan memberikan penjelasan berhubung laporan RCI itu amat signifikan.

Ketua Pasukan Perubatan Perdana Menteri, Dr Asri Ranga Abdullah Ramaiah, semalam, memaklumkan Anwar selamat menjalani prosedur pembedahan laparoskopi secara elektif bagi merawat hernia perut.

Author: admin