
PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim memfailkan saman fitnah terhadap Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, hampir dua minggu selepas menuntut beliau memohon maaf dan menarik balik kenyataan yang dibuat dalam satu ceramah parti pada Jun lalu, dalam tempoh 48 jam.
Menurut kenyataan peguam Anwar, SN Nair, saman itu difailkan hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Saman berkenaan berpunca daripada kenyataan yang didakwa dibuat Tuan Ibrahim pada ceramah PAS di Felda Jenderak Utara, Kuala Krau, Pahang, pada 14 Jun lalu, yang menurut Anwar adalah palsu dan berunsur fitnah.
Beliau mendakwa individu yang mengkritik menteri tidak lama lagi mungkin berdepan siasatan polis.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu turut menyentuh mengenai ‘penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa’, yang menurut peguam Anwar boleh difahami sebagai merujuk kepada perdana menteri dan pentadbirannya.
Kenyataan itu kemudiannya disebarkan melalui rakaman video dan platform media sosial termasuk Facebook dan YouTube, selain akaun Facebook Ahli Parlimen PAS berkenaan.
Anwar menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan, selain injunksi bagi menghalang penerbitan, penerbitan semula atau penyebaran lanjut kenyataan yang didakwa berunsur fitnah itu.
Beliau turut memohon perintah supaya kenyataan berkenaan dipadam daripada akaun media sosial Tuan Ibrahim serta penerbitan lain di bawah kawalannya, selain faedah, kos dan apa-apa relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
