
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi mengekalkan pembebasan aktivis politik Jufazli Shi Ahmad daripada dua pertuduhan berkaitan video jelik mengenai bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob dan Umno.
Hakim Aslam Zainuddin memutuskan demikian selepas menolak rayuan pendakwaan untuk membatalkan pembebasannya dan mengembalikan kes itu ke Mahkamah Sesyen.
“Setelah membaca rekod rayuan kes ini, alasan penghakiman Mahkamah Sesyen dan hujahan semua pihak, mahkamah menolak rayuan perayu dan mengekalkan keputusan terdahulu,” katanya.
Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan Jufazli daripada pertuduhan tersebut pada akhir kes pendakwaan, pada 18 Okt 2024.
Jufazli dituduh secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi bersifat jelik dengan memuat naik video itu ke akaun YouTube ‘King Maker Politik’, pada 27 Jun 2022.
Lelaki berusia 37 tahun itu, yang pernah bertanding sebagai calon bebas di DUN Tanjung Papat pada PRU 14, turut berdepan pertuduhan kedua iaitu gagal memberikan kata laluan akaun YouTube yang disimpan dalam telefon bimbitnya kepada polis, pada 6 Julai tahun sama.
Pertuduhan pertama dibuat mengikut Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000, penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya. Peruntukan itu juga menetapkan denda selanjutnya sebanyak RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Pertuduhan kedua dibuat mengikut Seksyen 248 akta sama, memperuntukkan denda maksimum RM100,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Peguam Ramesh N P Chandran mewakili Jufazli, manakala Timbalan Pendakwa Raya Shahrizzat Amadan bertindak mendakwa.
