Hasil daripada kerajaan persekutuan akan kembali kepada rakyat, kata Hajiji

Hajiji Noor berkata, peningkatan bayaran interim pemberian khas kepada RM1.5 bilion akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk bina lebih banyak infrastruktur serta tambah baik bekalan air dan elektrik di seluruh Sabah.

KOTA KINABALU” Segala hasil yang diperoleh Sabah daripada kerajaan persekutuan akan dikembalikan kepada rakyat negeri itu menerusi pelbagai bentuk insentif, bantuan dan pembangunan, kata Ketua Menteri Hajiji Noor.

Beliau berkata, peningkatan bayaran interim pemberian khas kepada RM1.5 bilion bermula tahun ini akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk membina lebih banyak jalan raya berturap, jambatan konkrit serta menambah baik bekalan air dan elektrik di seluruh Sabah.

“Kita mengalu-alukan keputusan Perdana Menteri Anwar Ibrahim meningkatkan jumlah bayaran interim ini, dan kita akan menggunakan hasil ini untuk agenda-agenda pembangunan serta kebajikan rakyat Sabah seperti pembinaan lebih banyak Rumah Mesra Sabah Maju Jaya dan Program Sentuhan Kasih Rakyat.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Ulang Tahun Upko ke-32 dan pembukaan Persidangan Perwakilan Tritahunan ke-17 parti itu.

Pada 12 Jun lepas, kerajaan Sabah menerima RM600 juta daripada bayaran geran khas interim berjumlah RM1.5 bilion yang disalurkan oleh kerajaan persekutuan.

Sementara itu, Hajiji berkata, kerajaan negeri terus memfokus kepada prestasi kewangan dan peningkatan kutipan hasil dengan jumlahnya berjaya dikekalkan mencecah RM7 bilion setiap tahun sejak 2022 serta dijangka meningkat hingga RM8 bilion pada tahun ini.

Tambahnya, daya tahan ekonomi Sabah terus diperkukuh meskipun berdepan pelbagai cabaran domestik dan global sekali gus menjadikan Negeri Di Bawah Bayu sebagai destinasi pelaburan strategik.

Author: admin