
IPOH: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengemukakan permohonan bagi mendapatkan pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) terhadap Gendang 24 Perayaan sebagai warisan budaya.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata, usaha itu merupakan antara wawasan dan matlamat penting dalam memastikan seni warisan berkenaan terus dipelihara, dikembangkan serta diperkenalkan kepada generasi muda.
Katanya, pihaknya telah mengadakan perbincangan pada peringkat kementerian sejak Mei lepas bagi meneliti pendekatan yang boleh dilaksanakan untuk membantu usaha mendapatkan pengiktirafan berkenaan.
“Pada Mei, saya dengan pasukan saya telah duduk untuk kita bincang bagaimana kita boleh bantu Gendang 24 Perayaan ini dalam permohonan ke Unesco yang jadi satu wawasan dan matlamat yang penting,” katanya pada majlis penutupan Pertandingan Akhir Gendang 24 Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan di Stadium Indera Mulia malam ini.
Wong berkata, pelbagai perbincangan turut diadakan pada peringkat kementerian dan bersama masyarakat bagi mengenal pasti langkah serta penambahbaikan yang boleh dilaksanakan untuk memperkukuh usaha mengembangkan Gendang 24 Perayaan.
Antara usaha dilaksanakan KPM, katanya, termasuk menerusi program ‘Train the Trainers’ bagi melatih tenaga pengajar di sekolah, sekali gus memperkenalkan dan mengembangkan seni gendang berkenaan ke lebih banyak sekolah.
Pertandingan yang julung kali dianjurkan itu dikendalikan Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK) KPM bersama Persatuan Gendang 24 Perayaan Malaysia dengan Yayasan Sime Darby sebagai penaja utama.
Sebanyak 16 pasukan terbaik sekolah rendah membabitkan 417 pelajar dari seluruh negara berentap dalam pertandingan itu, sekali gus mencerminkan perkembangan pembelajaran seni di sekolah serta semangat generasi muda dalam melestarikan warisan budaya tempatan.
Gendang 24 Perayaan diasaskan di Malaysia pada 1988 oleh dua tokoh kebudayaan, Tan Hooi Song dan Tan Chai Puan, sebelum diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan Tidak Ketara pada 2009.
Selepas 38 tahun, seni berkenaan berkembang daripada hanya beberapa pasukan kepada penyertaan ratusan sekolah di seluruh negara sehingga kini menjadi antara seni budaya sekolah yang sinonim dengan Malaysia.
