
GEORGE TOWN: Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang tidak boleh terlalu selesa dengan rekod prestasinya yang baik dalam mentadbir negeri ini kerana persepsi dan sentimen awam sering kali lebih mempengaruhi pengundi, kata pengerusinya, Chow Kon Yeow.
Walaupun prestasi kerajaan penting, Chow yang juga ketua menteri berkata, persepsi dan sentimen tersebar lebih pantas berbanding fakta dalam suasana politik hari ini.
“Kita ada rekod pentadbiran yang boleh dibanggakan, yang mana kita telah buktikan PH mampu mentadbir dengan stabil serta berintegriti, merancakkan ekonomi, menarik pelaburan, mewujudkan peluang kerja dan melaksanakan dasar yang menguntungkan rakyat.
“Tetapi jika kejayaan (kita) ini tidak dihebohkan kepada umum dengan cara yang betul, ia tidak akan bertukar menjadi undi pada masa akan datang,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat kepimpinan PH negeri hari ini.
Chow turut berkata, PH Pulau Pinang perlu menguasai naratif awam, dan ini bermula dengan mengakui kelemahan sendiri.
“Sangat banyak kejayaan kita yang tenggelam kerana kita lambat beri penjelasan dan kurang agresif sebar maklumat, sekali gus membiarkan seteru kita menguasai wacana,” katanya.
Beliau berkata, PH perlu mendominasi ruang digital dengan lebih berkesan dengan menangkis naratif perkauman dan politik kebencian menggunakan fakta.
Tambahnya, gabungan itu mesti lebih memahami pengundi muda, yang kini menjadi kelompok yang amat penting.
PH mentadbir Pulau Pinang sejak 2008, ketika ia masih dikenali sebagai Pakatan Rakyat. Gabungan itu kini sudah mentadbir negeri selama empat penggal, kali ini menerusi kerjasama dengan Barisan Nasional (BN).
