
PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah agar siasatan berkait Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji dijalankan ‘sehingga ke lubang cacing’.
Baginda yang berkenan dipersembahkan taklimat laporan itu oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, turut bertitah setiap pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya, selain memastikan perkara sama tidak berulang pada masa akan datang.
“Jangan ada yang terlepas daripada tindakan sekiranya benar-benar didapati bersalah. Yang penting, perkara seperti ini tidak boleh berulang,” titah baginda yang disiarkan Royal Press Office.
Sultan Ibrahim juga bertitah supaya siasatan berhubung laporan itu dilaksanakan secara menyeluruh dan tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan pasukan petugas khas untuk meneliti laporan RCI itu dan membuat beberapa tangkapan bagi membantu siasatan.
Secara berasingan, Bukit Aman membuka lima kertas siasatan berhubung dakwaan kesalahan komersial yang didedahkan dalam laporan tersebut.
Tingkat keselamatan di lapangan terbang
Yang di-Pertuan Agong juga bertitah supaya pihak berkuasa meningkatkan kawalan serta tahap keselamatan di semua lapangan terbang dan pintu masuk negara susulan beberapa kes rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana cuba menyeludup dadah, termasuk seorang juruterbang.
Sultan Ibrahim bertitah aspek keselamatan di pintu masuk negara perlu sentiasa diperkasa menerusi penguatkuasaan yang lebih berkesan, pemantauan berterusan serta kerjasama erat antara semua agensi berkaitan.
“Langkah ini bagi membendung kegiatan penyeludupan dadah serta mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam,” titah baginda.
